Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Iftar@KL 2024 Hidupkan Kembali Sunnah Rasulullah SAW

By 24 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Norfaizah Adnan (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Iftar@KL anjuran Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Islamic Tourism Centre (ITC) dan Persatuan Seni Budaya Putra kembali mengimarahkan bulan Ramadan di Dataran Merdeka.

Meskipun hujan lebat ia tidak menghalang warga kota hadir bersama keluarga dan kawan-kawan untuk berbuka puasa beramai-ramai di dataran bersejarah itu semalam. Ada yang sanggup berpayung dan berbaju hujan menunggu waktu berbuka puasa bersama-sama ibarat sebuah keluarga yang besar.

Uniknya anjuran Iftar@KL kali ke-12 ini memberi peluang kepada para pengunjung berbuka puasa berkonsepkan makan berjemaah dalam talam.

“Ia bertujuan mengembalikan nostalgia budaya makan dalam talam yang mana budaya ini kian dilupakan selain menghidupkan kembali sunnah Rasulullah SAW.

“Kenapa kita buat program ini sebanyak 12 kali? Pertama, untuk kita nak memperkenalkan cara masyarakat kita berbuka puasa di mana masyarakat majmuk, berbilang kaum boleh berbuka puasa bersama-sama.

“Kedua, kita memperkenalkan pelancongan budaya (cultural tourism) kepada masyarakat di luar sana betapa uniknya kebudayaan kita terutamanya sewaktu bulan Ramadan ini.

“Akhir sekali untuk kita memastikan supaya ada hubungan silaturahim yang erat antara kementerian dan masyarakat,” kata Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan ketika ditemui pada sidang media Pelancaran Iftar@KL 2024 di Dataran Merdeka semalam.

Selain itu, turut diadakan pelbagai pengisian menarik seperti penyediaan dan pengagihan bubur lambuk, Malam ‘Suara Dari Gaza’, Tadarus Al-Quran, solat berjemaah, tazkirah dan bicara Ramadan, persembahan nasyid serta Program Jom Exchange Al-Quran.

Iftar@KL diadakan selama enam hari iaitu pada 23, 24, 30, 31 Mac dan 6 hingga 7 April di Dataran Merdeka itu menyasarkan 35 ribu pengunjung dari dalam dan luar negara.

Selain Kuala Lumpur, program iftar anjuran MOTAC itu turut diadakan di Sabah dan Pahang.

-AA-

Tinggalkan komen anda