Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Rahmah Ramadan MAIWP ‘Sinar Aidilfitri’ Santuni 100 Asnaf

By 24 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus /Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Program Rahmah Ramadan MAIWP ‘Sinar Aidilfitri’ anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Labuan menyantuni 100 orang asnaf terpilih apabila diberi peluang memilih baju raya mereka sendiri di sini pagi tadi.

Menurut satu kenyataan MAIWP Labuan, semua penerima adalah dari dalam kalangan penerima Bantuan Kewangan Bulanan MAIWP yang mempunyai tanggungan antara lima ke tujuh orang melibatkan perbelanjaan RM30,000.

Dengan jumlah tersebut, setiap seorang diperuntukkan RM300 untuk membeli kelengkapan pakaian raya selain setiap anak asnaf turut menerima duit raya daripada MAIWP bernilai RM50 seorang dengan jumlah keseluruhan RM4,100 manakala setiap ketua keluarga menerima duit raya sumbangan Wakalah Pusat Pungutan Zakat (PPZ) sebanyak RM100.

Program itu turut mendapat kerjasama Jabatan Penyiaran Labuan – RTM sempena Jelajah Ramadan RTM 2024.

Jabatan Penyiaran Labuan yang diketuai oleh Timbalan Pengarahnya, Fauziah Sidek turut menyantuni keluarga asnaf bersama lebih 15 penyampai radio Labuanfm selain menyampaikan duit raya bernilai RM150 kepada sebuah keluarga sumbangan Kelab Sukan dan Kebajikan RTM Labuan.

Hadir sama Pengurus MAIWP Labuan, Md. Fadzli Md Saad, Eksekutif Kanan Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Muhamad Haziq Abang Sapri, Timbalan Pengurus Operasi MAIWP Labuan, Mohd Radzaleih Matusin, Timbalan Pengurus Pengurusan MAIWP Labuan, Mohamad Ruzaimi Ibrahim serta Ketua Unit Pembangunan Asnaf, Mohd Syukur Norfini.

-AA-

Tinggalkan komen anda