Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

Masjid Andalusia Jadi Tarikan Pelancong di Kelantan

By 24 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Robani Nabi Ahmad/Mohd Anizan Mat Daud (Kota Bharu)

KOTA BHARU, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Pembukaan Masjid Imanul Fa’izin atau Masjid Andalusia yang terletak di Kampung Padang Kala, Kota Bharu bermula 1 Ramadan 1445 Hijrah yang lalu menjadi tarikan pelancong dalam dan luar negeri Kelantan.

Masjid bernilai RM7.5 juta itu dibina oleh Pengarah Urusan Kumpulan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, Ibrahim Mat Sin dan mengambil masa selama lima tahun untuk siap dibina.

Menurut Timbalan Pengerusi Masjid Imanul Fa’izin, Nik Saiful Adli Burhan, pada hari pertama pembukaan, masjid ini telah menerima seramai 2,000 lebih jemaah untuk menunaikan solat sunat tarawih sehingga ada yang terpaksa solat di luar pagar masjid.

Walaupun menerima jumlah jemaah yang ramai, setiap kawasan lapang di sekitar masjid ini boleh digunakan untuk aktiviti ibadah kerana kawasan sekitar masjid ini sentiasa dicuci dan dibersihkan oleh petugas setiap kali selepas waktu solat.

Selain ciri estetika dan reka bentuk masjid yang diinspirasikan dari masjid di Abu Dhabi (UAE), hiasan dalaman masjid ini turut diadaptasi dari kawasan masjid Nabawi dan Masjidilharam.

Menariknya masjid ini dilengkapi dengan 21 pintu gerbang dan 100 kubah besar dan kecil berwarna putih yang ditempah khas dari beberapa negara seperti Indonesia, Mesir, Turki, Madinah dan kota suci Makkah.

Ciri istimewa hiasan dalaman masjid ini adalah lantai marmar yang digunakan tidak panas seperti lantai di Masjidilharam.

Karpet yang digunakan juga ditempah khas dari kilang yang sama seperti digunakan di Raudhah, Masjid Nabawi, Madinah dan akan dicuci dan ditukar setiap kali selepas waktu solat.

Selain solat tarawih, masjid Imanul Fa’izin juga turut dibuka kepada orang ramai untuk aktiviti berbuka puasa dan moreh yang disediakan untuk sekitar 800 jemaah.

Menurut seorang jemaah dari Kota Seribong, Tunjong, Sharifuddin Murni Wan Ibrahim, 59, beliau terasa teruja dengan keindahan dan suasana masjid seperti berada di tanah suci Makkah kerana hiasan dalaman karpet yang digunakan juga bercorak sama seperti di Raudah, Masjid Nabawi, Madinah.

“Masjid ini menjadi salah satu daya tarikan pelancong dan menarik minat orang ramai untuk bertandang ke negeri Kelantan kerana pintu gerbang yang gah, serta dilengkapi kubah besar dan kecil berwarna putih menyerlahkan lagi keunikan dan kecantikannya,” tambahnya.

-AA-

Tinggalkan komen anda