Laporan/foto: Suzira Zainol Abidin (Perak)/Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti
IPOH, 18 Mac (Malaysiaaktif) – Kunjungan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir ke Politeknik Ungku Omar (PUO) mencerminkan komitmen tinggi dalam meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) agar sentiasa berada di tahap terbaik dalam memenuhi aspirasi Malaysia Madani.
Dalam kunjungan tersebut, Zambry mengumumkan sumbangan sebanyak RM10,000 yang diperuntukkan daripada Geran Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada Majlis Perwakilan Pelajar PUO (MPP PUO) semasa program kembara Semarak Ramadan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Singgah Sahur YB Menteri@PUO, di sini awal pagi semalam.
Pengarah PUO Dr. Shamsuri Abdullah meluahkan rasa berbesar hati atas kunjungan tersebut dalam usaha melonjakkan kecemerlangan PUO untuk mencapai status politeknik Program Pemacuan Untuk Kecemerlangan (APEX) pertama di Malaysia.
“Harapan agar sumbangan yang diterima MPP PUO dapat menjadi pemangkin kepada pelajar dalam mengembangkan bakat, pengetahuan dan kemahiran serta memupuk sifat kepimpinan dalam kalangan mahasiswa,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam majlis sama, 10 pelajar turut menerima sumbangan berjumlah RM200 seorang melalui Tabung Kebajikan Pelajar PUO.
Untuk rekod, ini merupakan kunjungan pertama Zambry ke PUO sebagai Menteri Pendidikan Tinggi sejak memulakan tugas rasminya pada 14 Disember 2023.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (Dasar) Datuk Dr. Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Mohamad Azhan Md Amir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr. Mohd Zahari Ismail, Speaker Dewan Undangan Negeri Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Khairudin Abu Hanipah.
-ZS-