Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahSelangor

Lebih 300 Sertai Seminar Kerjasama TVET Antarabangsa Malaysia-China 2024

By 26 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)

SHAH ALAM, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Seramai 28 delegasi daripada negara China bersama 300 peserta menyertai ‘Malaysia-China International TVET Cooperation Seminar 2024’ yang diadakan di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA).

Seminar anjuran Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) dengan kerjasama PSA dan ‘China Education Association for International Exchange’ (CEAIE) bertujuan berkongsi landskap serta hala tuju Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia dan China.

Menurut Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) JPPKK, Ts Muhamad Rumzi Mamat, seminar tersebut juga diadakan bersempena ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Politeknik dan kolej komuniti mempunyai sejarah kerjasama yang baik dengan institusi-institusi TVET di China dan akan terus diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Saya berharap interaksi ini akan membuka peluang kerjasama yang lebih erat khususnya dalam bidang TVET demi manfaat kedua-dua negara,” ujarnya ketika berucap pada program yang diadakan di Dewan Al Jazari, PSA di sini semalam.

Katanya, JPPKK merancang menghantar beberapa kumpulan pelajar dan pensyarah menjalani program latihan di China dengan kos ditanggung oleh negara berkenaan tahun ini.

Dalam seminar tersebut, Muhamad Rumzi turut membentangkan mengenai landskap TVET politeknik dan kolej komuniti di Malaysia manakala Chen Changjiang dari Wuhan Institute of Shipbuilding Technology berkongsi mengenai kes TVET di China.

Manakala ucaptama bertajuk Pembangunan dan Peluang TVET China disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha CEAIE, An Yan.

Terdahulu delegasi dibawa melawat ‘Centre for Medical Electronic Technology’ (CMET), PSA yang merupakan pusat rujukan, penyelidikan dan inovasi dalam bidang elektronik perubatan.

Turut hadir wakil Kedutaan China di Malaysia Zhao ChangTao, Pengarah Bahagian Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi Jabatan Pendidikan Tinggi, Datuk Shushilil Azam Shuib dan Timbalan Pengarah (Akademik) PSA, Ts. Dr. Ahmad Aftas Azman.

-ZS-

Tinggalkan komen anda