
Laporan/foto: Faizzad Kamal (Batang Padang)
TAPAH, 21 Mac (Malaysiaaktif) – Sebanyak RM64,500 diagihkan kepada semua 16 buah masjid, 91 surau dan tiga surau diri Jumaat di kawasan Parlimen Tapah dalam satu majlis di Dewan Bangunan UMNO, di sini semalam.
Sumbangan ini disampaikan oleh Ahli Parlimen Tapah Datuk Seri Dr. M. Saravanan dengan masing-masing menerima RM500 bagi surau serta RM1,000 bagi masjid dan surau diri Jumaat.
Menurut Ahli Dewan Undangan Kawasan Ayer Kuning Ishsam Shahruddin, sumbangan ini diagihkan bagi tujuan menjalankan aktiviti sepanjang bulan Ramadan seperti jamuan berbuka puasa, moreh, edaran bubur lambuk dan bantuan kepada golongan asnaf.
“Majlis penyampaian sumbangan ini lazimnya diadakan pada setiap tahun dan menjadi tradisi di Parlimen Tapah sejak empat penggal semenjak Datuk Seri M. Saravanan menjadi Ahli Parlimen.
“Saya berharap sumbangan ini dapat diteruskan bagi tahun yang akan datang untuk membantu menghidupkan aktiviti pada bulan yang mulia,” katanya ketika berucap.
Majlis turut dihadiri pengerusi serta wakil jawatankuasa masjid dan surau di kawasan Parlimen Tapah.
-ZS-