Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)/PSA
SHAH ALAM, 14 Mac (MalaysiaAktif) – Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir mengumumkan sumbangan sebanyak RM10 ribu daripada geran Yayasan Perkasa Siswa (YPS) kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Politeknik Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah (PSA).
Berita mengembirakan bertujuan melaksanakan program dan aktiviti pelajar tersebut diumumkan semasa program ramah mesra dengan para pelajar selepas menunaikan solat isyak dan solat sunat Tarawih semalam.
Beliau turut teruja apabila pelajar Diploma Kejuruteraan Mekanikal Nur Abdullah Hadi Sabarudin dan pelajar Diploma Kejuruteraan Awam Muhamamd Amin Nordin mengimamkan solat sunat tarawih serta memimpin bacaan doa.
“Menariknya di PSA ialah mereka menawarkan pengajian Diploma Politeknik berserta Pensijilan Tahfiz Al-Quran JAKIM-Politeknik yang dinamakan Program Techno Huffaz PSA,”
“Selain daripada bidang teknikal, PSA juga melahirkan profesional yang mempunyai pensijilan agamawan,” katanya.
Turut hadir Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian,
Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) Mohamad Azhan Md Amir, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Dr Haji Mohd Zahari Ismail dan Timbalan Pengarah Akademik PSA Ts Dr. Ahmad Aftas Azman.
Sementara itu, Yang-Dipertua MPP PSA Ishqi Noremey,20, menzahirkan kegembiraan dan merancang menggunakan sumbangan tersebut sebaiknya dalam menjalankan aktiviti-aktiviti pelajar.
“Kami merakamkan penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih atas sokongan dan sumbangan kepada MPP PSA.
Saya berharap Datuk Seri terus menyokong MPP serta menyumbangkan tenaga dan idea agar dapat menaikkan nama PSA,” katanya.
Seramai 500 pelajar dan kakitangan PSA mengambil peluang bertemu Datuk Seri Dr Zambry bersama pengurusan tertinggi Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK).
-ZS-