Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Pelajar Tahfiz Manfaat Ramadan Belajar Memasak

By 20 Mac 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin (Kemaman)

KEMAMAN, 20 Mac (Malaysiaaktif) – Ramadan merupakan bulan bagi seluruh umat Islam menjalankan ibadah puasa sebagai Rukun Islam yang ketiga.

Pada bulan yang penuh barakah ini juga memberi kesempatan untuk umat Islam meningkatkan iman, amal dan takwa dengan pelbagai aktiviti kerohanian dan juga kemasyarakatan.

Bagi pelajar Ribath Tahfiz Sheikh Ahmad Asy-Syinnawi, Ramadan kali ini dimanfaatkan dengan aktiviti mempelajari cara-cara membuat kudapan popia nestum bersama dengan tenaga pengajar di Perpustakaan Desa (PD) Felda Kerteh 5, di sini kelmarin.

Menurut Penolong Pustakawan PD Felda Kerteh 5 Norruby Abdul Wahab, selain memberi perkhidmatan dan kemudahan membaca bagi komuniti di peringkat desa, PD juga berfungsi sebagai pusat aktiviti komuniti yang menjalankan aktiviti kemasyarakatan bersama-sama dengan penduduk setempat.

“Pihak PD Felda Kerteh 5 juga sudah beberapa kali mengadakan program bersama dengan pelajar Ribath Tahfiz Sheikh Ahmad Asy-Syinnawi, tapi ini adalah kali pertama untuk aktiviti menyedia dan memasak popia nestum.

“Apa yang menariknya, kesemua 30 pelajar tahfiz yang sertai program hari ini adalah pelajar lelaki,” katanya.

Norruby berharap pelajar tahfiz tersbut dapat belajar sesuatu tentang ilmu masakan dan beroleh pengalaman yang bermakna untuk dikenang pada masa akan datang.

“Saya dapat lihat mereka sangat teruja menyedia dan memasak popia nestum bersama dengan guru dan kawan-kawan”, katanya kepada Malaysia Aktif.

Pelajar tahfiz Muhammad Ameer Amirul, 20, berterima kasih kepada PD Felda Kerteh 5 kerana memberi peluang kepadanya dan rakan-rakan menyertai aktiviti tersebut.

“Selain dapat eratkan hubungan dengan kawan-kawan saya juga dapat belajar cara-cara membuat popia nestum dan ini adalah ilmu baru buat saya.

“Saya juga dapat buktikan yang saya boleh masak macam kaum hawa,” katanya sambil berseloroh.

Sementara itu, pelajar tahfiz Muhammad Izudin Ahmad, 10, berkata aktiviti menyedia dan memasak popia nestum dapat memupuk sikap sabar dan ikhlas dalam dirinya selain perlu saling tolong-menolong bagi menyiapkan sesuatu masakan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda