Laporan/foto: Mohd Zaid Awang (Gombak)
SHAH ALAM, 24 Mac (Malaysiaaktif) – Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PSA) dipilih sebagai lokasi pertama program Jom Kejut Sahur anjuran Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, program tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut julung kali diperkenalkan bertujuan mengeratkan silaturahim antara PTPTN dengan pelajar.
“Ini merupakan projek rintis dan melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan kami merancang untuk teruskan pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui di perkarangan kolej kediaman PSA semalam.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar PSA, Ishqi Noremey, 19, berkata para pelajar merakamkan penghargaan kepada PTPTN atas inisiatif tersebut yang sedikit sebanyak dapat membantu meringankan perbelanjaan pelajar.
Program Jom Kejut Sahur diadakan di perkarangan kolej kediaman Aman, PSA dengan agihan 350 pek makanan sahur dilaksanakan dari pintu ke pintu melibatkan kolej kediaman lelaki dan perempuan.
Turut hadir Ketua Pengarah Pendidikan dan Kolej Komuniti Dr. Mohd Zahari Ismail, Timbalan Pengarah Akademik Ts Dr. Ahmad Aftas Azman dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik Ts Mohd Firdauz Mhd Radzi.
-AA-