Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurTerengganu

Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JPKKP) Setiu Tahun 2024

By 27 Mac 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Nik Awang Yaacob (Setiu)

SETIU, 26 Mac (Malaysiaaktif) – Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Setiu telah mengadakan majlis penyerahan watikah pelantikan Jawatankuasa Pembangunan Kemajuan dan Keselamatan Persekutuan (JPKKP) bagi tahun 2024 bertempat di Dewan KEMAS Setiu, disini semalam.

Penyerahan 129 watikah pelantikan JPKKP telah disampaikan oleh Yusliza Yaakob, Penolong Pengarah KEMAS Negeri. Penyerahan watikah pelantikan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) ini menawarkan insentif tadbir urus kepada semua JPKKP di seluruh daerah Setiu.

Menurut wakil Pengerusi Barisan Nasional (BN) Setiu, Mohd Iskandar Jaafar, pelantikan ini adalah bagi tempoh dua tahun.

“Semua JPKKP perlu memberi perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dalam menyampaikan dasar-dasar serta inisiatif-inisiatif kerajaan untuk membangunkan negara kepada komuniti di peringkat akar umbi bersama gabungan dalam Pakatan Harapan,” katanya.

Menurut salah seorang penerima watikah pelantikan Pengerusi JPKKP, Azaid Mohammed, 46, dari Kampung Air Sejuk, beliau amat bersyukur dan berterima kasih atas watikah pelantikan ini dan berharap dapat membantu kerajaan dalam gerak kerja di peringkat kampung.

Taklimat Pangkalan Data Utama (PADU) turut diadakan dan disampaikan oleh Mohd Almin Ahmad, Penolong Pegawai Perangkaan, Jabatan Perangkaan Malaysia. Beliau memohon kerjasama semua pengerusi JPKKP untuk mendaftar dan mengemaskini maklumat PADU sebelum berakhir pada 31 Mac 2024.

Turut hadir Pengerusi Penyelaras Pakatan Harapan, Wan Rahim Wan Hamzah dan semua penyelaras Dun Daerah Setiu.

-AA-

Tinggalkan komen anda