Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPulau Pinang

Asnaf Ceria Terima Buah Tangan Hari Raya

By 7 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Sufian Rashid/Zarith Intan (Permatang Pauh)

PERMATANG PAUH, 6 Apr (Malaysiaaktif) – Suasana meriah di Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh dengan kehadiran lebih 1800 pengunjung untuk berbuka puasa bersama-sama YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dalam Majlis Berbuka Puasa MADANI Peringkat Negeri Pulau Pinang semalam.

Ketibaan beliau yang tampil serba lengkap berbaju melayu menarik perhatian pengunjung di majlis yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia serta Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Sebelum menikmati hidangan berbuka puasa, beliau turut berkesempatan mengagihkan sumbangan kepada asnaf dan pelajar yang layak sebagai tanda komitmen beliau terhadap kebajikan rakyat.

Muhd Sani, 51, dari Masjid Papan, yang turut menerima sumbangan berkongsi rasa terharunya.

“Saya sangat bersyukur atas perhatian yang diberikan oleh Zakat Negeri Pulau Pinang, sumbangan ini amat bermakna bagi kami dan dapat membantu meringankan perbelanjaan menjelang tiba hari raya nanti,” katanya.

Beliau turut berpeluang untuk menunaikan solat maghrib secara berjemaah bersama-sama para hadirin di Pusat Islam UiTM Cawangan Pulau Pinang Kampus Permatang Pauh.

Kemeriahan majlis ini turut disaksikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Tuan Chow Kon Yeow, Menteri Pendidikan, YB Fadhlina Sidek, dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang 1, YB Dato’ Dr Mohamad bin Abdul Hamid.

Majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk menjalin ukhuwah dalam kalangan masyarakat, tetapi juga mencerminkan semangat keprihatinan pemimpin negara dalam mengukuhkan perpaduan dengan pelbagai lapisan masyarakat.

-AA-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda