Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Biskut Raya Cita Rasa Johor Laris di Sabah

By 5 April 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohamad Akmal Ibrahim/Sitti Jakiyah Abdul Rahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 5 Apr (Malaysiaaktif) – Kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri kian dirasai apabila warga Kota Kinabalu dilihat sibuk membuat persiapan dengan membeli biskut dan busana di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Tinjauan Malaysia Aktif di perkarangan bangunan Wisma MUIS semalam mendapati, selain kuih tradisional tempatan, orang ramai juga tidak melepaskan peluang membeli biskut raya yang diterbangkan khas dari Johor.

Pengusaha biskut ‘Meh Rasa Johor’, Suraini Nuruddin, 59, berkata beliau telah memulakan perniagaan menjual biskut air tangan orang Johor itu di Sabah sejak 15 tahun yang lalu dan hanya beroperasi semasa bulan Ramadan sahaja.

“Sebelumnya kita hanya merasa produk tempatan dan orang tidak pernah rasa biskut dari semenanjung, jadi dari situlah kita cuba perkenalkan produk biskut yang lain daripada lain bagi menambah kepelbagaian cita rasa pada setiap bulan Ramadan.

“Setakat ini saya hanya berniaga pada bulan Ramadan di Wisma MUIS dan saya juga tidak berniaga pada hari lain,” katanya ketika ditemui di gerainya di Wisma MUIS di sini pada Khamis.

Menurut Suraini, jualan biskutnya itu pada awalnya bermul pada skala yang kecil dengan hanya 10 hingga 20 jenis biskut sahaja sebelum berkembang menjadi lebih banyak sehingga hari ini.

“Untuk permulaan saya hanya menjual dalam 10 hingga 20 jenis saja dan bersyukur apabila cubaan berniaga biskut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada masyarakat di sini.

“Tahun lepas saya bawa 89 jenis biskut namun memandangkan keadaan ekonomi sekarang ini, saya kurangkan sedikit kepada hanya 66 jenis sahaja, pelbagai bentuk pelbagai warna dan rasa,” jelas usahawan yang berasal dari Kuala Lumpur itu.

Salah seorang pelanggannya, Saadiah Basiawan, 53, berkata beliau memilih untuk mendapatkan biskut jenama ‘Meh Rasa Johor’ ini kerana teksturnya yang istimewa dan rasanya yang sedap.

“Biskut di sini memang sedap dan menepati selera, setiap tahun saya akan membelinya kerana kita dapat nikmati rasa biskutnya yang kita tahu sememangnya diperbuat daripada mentega asli.

“Bagi saya, amat berbaloi untuk membeli biskut di sini, sesuailah dengan harganya pun berpatutan kerana biskut-biskut ini datang dari semenanjung, dan saya sebagai pembeli berpuas hati dapat merasa biskut air tangan orang Johor,” kongsinya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda