Laporan/foto: Rusmiza Anuar/Maherah Marina Mahusein (Kuala Terengganu)
KUALA TERENGGANU, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Isu penyalahgunaan dadah membimbangkan banyak pihak kerana ia menggugat kesejahteraan, keharmonian dan keselamatan negara dan masyarakat.
Rentetan itu, Komuniti Madani Pulau Kambing dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kuala Terengganu telah mengambil inisatif mendekati anak muda di Kampung Pulau Kambing dengan menganjurkan pertandingan futsal, di sini kelmarin.
Ketua Komuniti Pulau Kambing Khairul Samri Salim, berkata program seperti ini mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran dan kefahaman tentang isu-isu sosial terutamanya isu penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja.
“Saya melihat aktiviti ini membantu para belia membina jati diri agar tidak mudah terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti pengambilan dadah, rokok dan juga ‘vape’ (rokok elektronik).
“Bagi menjayakan usaha ini, peranan semua pihak dalam membangun potensi belia amat penting agar terlahirnya generasi belia yang berkualiti dan berwibawa untuk membina negara bangsa yang berjaya,” ujarnya ketika ditemu bual Malaysia Aktif.
Pegawai AADK Kuala Terengganu Wan Syawani Wan Mansor, berkata kerjasama erat dan sokongan peringkat komuniti masyarakat setempat sangat diperlukan dalam usaha pihak kerajaan melalui peranan AADK mengekang gejala penagihan najis dadah ini.
“Kaedah yang santai seperti ini juga salah satu mekanisma yang baik untuk mendekati anak muda agar mereka tidak merasa tersisih dan aktiviti sebegini perlu lebih kerap lagi diadakan pada masa akan datang,” katanya.
Pertandingan ini telah berjaya menghimpunkan 12 pasukan dengan penyertaan lebih 100 peserta.
Turut hadir Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pulau Kambing Abdul Aziz Ismail.
-ZS-