Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanLabuan

Media Labuan Diajak Terus Agresif Promosi Usaha Kerajaan Bangunkan Labuan

By 27 April 2024Tiada komen1 minit bacaan

Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus/Jeffrey Nian (Labuan)

LABUAN, 27 Apr (Malaysiaaktif) – Media tempatan di sini diajak untuk terus agresif dalam menyebarkan maklumat mengenai inisiatif dan pencapaian kerajaan dalam usaha membangunkan wilayah itu.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr. Zaliha Mustafa, pelbagai usaha telah dilakukan Jabatan Wilayah Persekutuan untuk membangunkan serta menangani isu-isu berbangkit di Labuan.

Seorang pengamal media Labuan sedang melontarkan idea kepada Zaliha.

“Tiga pasukan petugas yang dibentuk sedang mengambil tindakan kepada isu pembangunan pelancongan, pembinaan jambatan Labuan-Menumbok serta meningkatkan aktiviti pemindahan kargo kapal ke kapal.

“Kita telah bincangkan isu-isu ini khasnya isu jambatan di Kabinet bersama pemegang taruh, membuat kajian teknikal dan Kementerian Kerja Raya sedang berusaha mendapatkan peruntukan,” katanya semasa berucap pada Majlis Aidilfitri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (WP) Bersama Media Labuan, di sini semalam.

Para pengamal media Labuan bergambar kenangan bersama Zaliha.

Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan menyelesaikan isu keperluan asas di Labuan seperti bekalan air dan elektrik serta kesalinghubungan.

“Saya sentiasa memantau perkembangan usaha-usaha yang sedang dilaksanakan untuk mengatasi masalah asas ini bagi menarik lebih ramai pelabur hadir ke Labuan.

“Usaha menarik pelabur ke Labuan sentiasa berterusan dan ada beberapa pertemuan bersama pelabur luar dari China, Korea dan Islamic Development Bank disamping kita sedang berunding dengan sebuah pelabur produk kelengkapan rumah untuk membuka operasinya di sini,” jelasnya.

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda