Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Sistem Tagal, Eratkan Perpaduan Sambil Menuai Ikan

By 22 April 2024Tiada komen2 minit bacaan

Laporan/foto: Sitti Jakiyah Abd.Rahim/Dexter Cysonned (Sabah)

PENAMPANG, 22 Apr (Malaysiaaktif) – Tagal merupakan satu sistem yang dipraktikkan oleh masyarakat suku kaum Kadazan Dusun sebagai satu bentuk penguatkuasaan penjagaan hidupan sungai dan telah dilaksanakan sejak turun-temurun sebagai usaha memulihkan kembali populasi ikan di habitat berkenaan.

Kebanyakan kawasan yang mengamalkan sistem tagal terletak di kawasan pedalaman atau perkampungan dan dijalankan sendiri oleh pemimpin masyarakat serta komuniti setempat antaranya di Kampung Babagon Bawah, Penampang, Sabah.

Gidius Gonsuin @ Sami

Pengerusi Tagal Kampung Babagon Bawah, Gidius Gonsuin, 65, berkata sistem tagal adalah satu bentuk disiplin aktiviti perikanan yang menjaga ekosistem sungai secara bersama-sama oleh penduduk kampung dan dilaksanakan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun.

“Penduduk kampung bukan sahaja dapat menikmati hasil ikan yang segar, bahkan juga aktiviti menuai hasil tagal ini mampu mengeratkan kerjasama penduduk kampung yang juga melibatkan para belia kerana mereka ini akan menjadi pewaris untuk meneruskan sistem tagal pada masa akan datang.

“Bukan sahaja menangkap ikan bersama-sama, malahan kami juga berkumpul beramai-ramai dan menyediakan juadah untuk jamuan secara bergotong-royong, berkongsi hasil tangkapan dan inilah yang mengukuhkan kerjasama penduduk kampung,” katanya ketika ditemui di Kampung Babagon, di sini pada Sabtu.

Sebagai salah seorang peserta tagal, Zeno Fidelis, 41, memberitahu, proses menuai hasil ikan melalui sistem tagal ini mempunyai cabaran tertentu termasuk cuaca dan perlu mengikut jadual khusus yang telah ditetapkan oleh jawatankuasa tagal.

Zeno Fidelis, belia Kampung Babagon Bawah.

“Hasil tuaian tagal bukan merupakan perkara utama bagi kami, yang penting adalah bagaimana proses ini dapat dilaksanakan secara teratur dengan menanam semangat kebersamaan kerana kejayaannya juga bergantung kepada cabaran tertentu termasuk cuaca.

“Semestinya para belia memainkan peranan penting dalam melaksanakan program-program tagal ini dan mereka akan terus menyokong kepimpinan tagal seterusnya melaksanakan agenda-agenda yang akan datang selain menjadikan tagal sebagai salah satu produk ekopelancongan di kawasan ini,” jelasnya.

Untuk rekod, aktiviti menuai ikan atau Tagal di Kampung Babagon Bawah telah diadakan pada 19 hingga 20 April 2024 di Sungai Babagon melibatkan sejumlah 128 ahli tagal yang juga mewakili setiap Ketua Isi Rumah (KIR) di kampung berkenaan.

Tidak hanya bergantung kepada satu jenis ikan sahaja, penduduk di Kampung Babagon Bawah berjaya menuai pelbagai jenis ikan air tawar antaranya ikan Pelian (spesis ikan kelah), Tilapia, Sarawi, Haruan, Keli, dan Sinsilog (Belut Sungai).

-ZS-

Kongsi artikel ini di media sosial:

Tinggalkan komen anda