Skip to main content
Berita TempatanBerita TengahKuala Lumpur

Dasar Pengurusan Bencana Negara Disemak Semula

By 2 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Parameswary Lekshmnan/Muhamad Hafizuddin Abdul Halim (Kuala Lumpur)

KUALA LUMPUR, 8 Mei (Malaysiaaktif) – Kerajaan telah bersetuju Dasar Pengurusan Bencana Negara akan disemak semula bagi meningkatkan daya tahan dan mengukuhkan kesiapsiagaan serta keupayaan negara dalam menguruskan bencana dengan lebih baik sekali gus memastikan ancaman bencana berada pada tahap minimum.

Menurut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kini di peringkat akhir proses semakan semula Arahan MKN No. 20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara agar selari dengan keperluan dan evolusi pengurusan bencana yang semakin kompleks.

Zahid menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat sepanjang MTL 2023/2024.

“Pindaan ini dijangka akan memantapkan lagi pengurusan, lebih-lebih lagi ia merupakan dokumen rujukan utama dalam koordinasi dan mekanisma pengurusan bencana negara.

“Pada masa yang sama, dasar khusus dalam mengarusperdanakan pengurangan risiko bencana sedang digubal melalui Dasar Pengurangan Risiko Bencana Negara (DRR) yang akan memperkasa semua pihak berkepentingan termasuk komuniti dalam berkongsi komitmen untuk meningkatkan daya tahan negara terhadap bencana selari dengan matlamat ‘leave no one behind,’ katanya.

Zahid menyampaikan sijil penghargaan kepada pihak yang terlibat sepanjang MTL 2023/2024.

Zahid berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Apresiasi Petugas Barisan Hadapan Monsun Timur Laut (MTL) 2023/2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC KL) semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan kerajaan melalui Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) yang dikelolakan NADMA telah bersetuju menyediakan peruntukan awal sejumlah RM5 juta yang boleh digunakan oleh agensi-agensi dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pengurusan bencana bagi melaksanakan program/latihan berkaitan kesiapsiagaan serta kesedaran komuniti termasuk program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM).

Pada majlis tersebut, seramai 400 petugas barisan hadapan diraikan termasuk kerajaan negeri, agensi tindak balas, agensi teknikal, syarikat telekomunikasi, badan bukan Kerajaan (NGO) dan pihak media yang terlibat sepanjang musim Monsun Timur Laut 2023/2024 yang berakhir pada Mac lalu.

-ZS-

Tinggalkan komen anda