Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurKelantan

LKTN Buka Pejabat Baharu Bagi Kelancaran Operasi Pembangunan Kenaf dan Kawal Selia Tembakau di Wilayah Timur

By 4 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Farzliana Abdul Ghaffar (Bachok)

Bachok, 5 Mei (Malaysiaaktif) – Datuk Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah, Pengerusi Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah merasmikan pembukaan pejabat baharu Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara Wilayah Timur di Bachok, Kelantan yang mana pejabat asalnya terletak di Ibu Pejabat LKTN, Kubang Kerian.

Menurut Ketua Pengarah LKTN, Tuan Haji Wan Baharuddin Wan Ismail pembukaan LKTN Wilayah Timur ini dapat memastikan operasi pembangunan kenaf dan kawal selia tembakau di Kelantan, Terengganu dan Pahang berjalan dengan lancar dan jayanya.

Pengerusi LKTN, Datuk Haji Wan Abd. Rahim Wan Abdullah beramah mesra bersama Ketua Pengarah LKTN, Tuan Haji Wan Baharuddin Wan Ismail dan Pengurus LKTN Wilayah Timur, Tuan Haji Nik Muhamad Azhar Nik Mustapha

“Pemindahan lokasi ini adalah selaras dengan perkembangan semasa LKTN iaitu memperkasakan kawal selia industri tembakau yang memerlukan bangunan di ibu pejabat bagi mempertingkatkan aktiviti pelesenan, penguatkuasaan dan pemantauan selaras dengan pelaksanaan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan tembakau Negara (Peraturan Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011,” katanya.

Tambah beliau, Pejabat LKTN Wilayah Timur mula beroperasi pada 1 April 2024 di Kampung Telok, Bachok, Kelantan dengan seramai 12 orang pegawai dan kakitangan ditempatkan di pejabat dan dibantu oleh 18 orang pegawai lantikan MyStep.

“Secara dimensinya, LKTN Wilayah Timur mempunyai pegawai dan kakitangan berjumlah 83 orang yang melibatkan negeri Kelantan (34 orang), Terengganu (27 orang) dan Pahang (22 orang),” ujarnya.

Sesi bergambar bersama ketua-ketua jabatan di pejabat baharu LKTN

LKTN Wilayah Timur diberi tanggungjawab untuk merancang dan melaksanakan program pembangunan tanaman kenaf yang meliputi 1,232.40 hektar dan melibatkan 649 orang kumpulan sasar yang merupakan 53.6% daripada keluasan keseluruhan sasaran LKTN iaitu sebanyak 2,300 hektar.

Selain itu, LKTN Wilayah Timur juga bertanggungjawab melaksanakan Peraturan-Peraturan Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (Pelesenan Tembakau dan Keluaran Tembakau) 2011 melibatkan sasaran premis yang perlu dilesenkan sebanyak 7,093 premis (18.6%) daripada 38,067 premis yang disasarkan oleh LKTN secara keseluruhannya.

-AA-

Tinggalkan komen anda