Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

496 Pelatih GIATMARA Seluruh Sarawak Diraikan

By 29 Oktober 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Norlia Mili/Abdul Hakeem Well (Sarawak)

KUCHING, 29 Okt (Malaysiaaktif) – Seramai 496 daripada 1,226 pelatih yang mengikuti latihan di 30 GIATMARA seluruh Sarawak diraikan pada Majlis Graduasi GIATMARA Malaysia ke-7 Sidang 11, di Pusat Konvensyen Penview, di sini pagi tadi.

Pengarah Kanan Pelaburan MARA yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah GIATMARA Yahaya Sani, berkata selari dengan Dasar TVET Negara dan Majlis Amanah Rakyat (MARA), GIATMARA kini aktif memperkasakan aktiviti kolaborasi bersama pihak industri melalui konsep Teaching Factory (Kilang Pembelajaran) dalam pelbagai bidang.

“Konsep ini membabitkan perantis industri, pembelajaran berasaskan kerja sebenar, belajar dan memperolehi upah atau bayaran.

“Kita juga tidak ketinggalan untuk memenuhi segala keperluan tenaga mahir dalam bidang-bidang baharu seperti kenderaan elektrik (EV), Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan pembangunan tenaga yang diperbaharui seperti solar dan tenaga hidrogen hijau yang bakal membangun pesat di negeri ini,” katanya.

Tambahnya, pelbagai penyesuaian kemahiran terkini telah dibuat melalui peningkatan kemahiran tenaga pengajar dan kurikulum dalam mempersiapkan kesemua lepasan GIATMARA yang tamat, akan berkejaya dengan gaji yang premium.

Rita Jelian menerima Sijil Anugerah Eksekutif GIATMARA bagi kluster Rekagaya Rambut dan Kosmetologi.

Sementara itu, penerima Sijil Anugerah Eksekutif GIATMARA bagi Kluster Rekagaya Rambut dan Kosmetologi, Rita Jelian, 28, berkata minat terhadap tatarias kuku dan kecantikan mendorongnya menyertai program di GIATMARA bagi menambah ilmu dengan lebih mendalam.

Menurut Rita yang merupakan seorang suri rumah dan mempunyai seorang anak, beliau menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di rumah dan bercita-cita membuka perniagaan dalam bidang kecantikan.

Penerima Sijil Anugerah Eksekutif GIATMARA Kluster Komputer dan Rangkaian, Mohamad Zulkifly Majidi, 50, berkata beliau mengambil cuti selama enam bulan bagi mengikuti pengajian di GIATMARA Kuching untuk mendapat pengalaman dan pengetahuan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Beliau yang juga pensyarah UPM kampus Bintulu, berkata ilmu yang dipelajari akan memberi nilai teknikal kepada pelajar-pelajarnya.

“GIATMARA turut menawarkan kemahiran untuk pelatih berkemahiran tinggi dan graduan GIATMARA mampu memberi sumber kemahiran untuk industri,” katanya.

Mohamad Zulkifly (tiga dari kiri) bersama anaknya Mohamad Danish Aiman merakamkan gambar kenangan bersama ahli keluarga yang hadir pada majlis graduasi tersebut.

Turut serta menerima sijil Profesional GIATMARA ialah anaknya Mohamad Danish Aiman Mohamad Zulkifly, 20, yang berhasrat membuka perniagaannya sendiri apabila selesai pengajian.

Mohamad Danish telah menamatkan Kursus Teknologi Penyejukbekuan dan Penyaman Udara Tahap 2 dan kini sedang mengikut Tahap 3.

GIATMARA Negeri Sarawak menawarkan program latihan kemahiran yang mempunyai nilai kobolehan dapatan pekerjaan dan kebolehan pasaran dalam lebih 27 kursus sepenuh masa termasuk tujuh kursus peningkatan dan tujuh kursus pengkhususan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda