Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Hari Sukan Negara Pupuk Gaya Hidup Sihat

By 13 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud/Sitti Jakiyah Abd Rahim (Sabah)

KOTA KINABALU, 13 Okt (Malaysiaaktif) – Hari Sukan Negara (HSN) merupakan salah satu usaha kerajaan bagi menggalakkan rakyat
Malaysia sentiasa bersukan sehingga ia menjadi satu budaya hidup.

Dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat dan meningkatkan semangat kakitangan dalam beriadah Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah telah mengadakan program sukan sempena Hari Sukan Negara (HSN), di sini kelmarin.

Sekitar suasana program HSN peringkat JaPen Sabah.

Pengarahnya, Jainisah Mohd Noor menegaskan bahawa kesihatan bukan hanya merangkumi aspek fizikal tetapi juga meliputi kesihatan mental.

“Dengan mengamalkan hidup sihat dan bersenam, kita berharap dapat membantu meringankan bebanan dan tekanan semasa bekerja. Aktiviti santai seperti ini dapat meningkatkan semangat pekerja untuk bekerja lebih gigih.

“Semangat yang tinggi ini sedikit sebanyak dapat meningkatkan prestasi mereka di tempat kerja,” katanya ketika ditemui pada program HSN, peringkat JaPen Sabah, di sini pada Jumaat,” jelasnya.

Menurutnya lagi, JAPEN Sabah juga menyokong saranan Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil untuk menjadikan sukan sebagai salah satu gaya hidup sihat di dalam jabatan.

“Justeru, pelbagai jenis sukan akan dianjurkan termasuk sukan tradisional dan moden. Di samping sukan fizikal biasa, kita juga merancang untuk mengadakan pertandingan e-sukan sebagai sukan moden.

“Ini boleh digunakan untuk perlawanan mesra sekurang-kurangnya sekali sebulan, sebagaimana disarankan oleh Menteri Komunikasi dan diharapkan dapat meningkatkan semangat kerjasama, kesihatan mental serta fizikal kakitangan, sekaligus membina suasana kerja yang lebih positif,” ujarnya.

Sementara itu, johan pertandingan e-sukan Calver O’nell Lo Tit Min @ Robert Lo, 24, berkata e-sukan mampu mengurangkan tekanan di tempat kerja dan mengembalikan semangat.

Oziel ketika menerima hadiah daripada Jainisah.

“Selain itu, aktiviti ini juga membantu membina kerjasama dan komunikasi antara rakan sekerja, menjadikan suasana kerja lebih harmoni dan produktif,” ujarnya.

Bagi wakil Jabatan Penyiaran Malaysia Sabah (RTM), Oziel J Mathew, 30, berharap agar lebih banyak sukan dapat dianjurkan pada masa akan datang, termasuk Mobile Legend, PUBG dan Tekken.

“Melalui sukan ini, kami bukan sahaja dapat menjaga kesihatan, tetapi juga bersosial secara positif, sekaligus mengeratkan silaturahim menerusi semangat kesukanan.” katanya.

Program bertemakan ‘Cergas Bersama’ tersebut turut diserikan acara Senam Seni MADANI dan juga pertandingan e-sukan melibatkan pelbagai peringkat bahagian JaPen Sabah.

-ZS-

Tinggalkan komen anda