Laporan/foto: Noor Azian Saad (Pendang)
PENDANG, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Bagi memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada keluarga dan pembangunan negara, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah memperkenalkan skim yang dikenali sebagai i-Suri.
Kemudahan i-Suri yang merupakan satu produk khusus di bawah program e-kasih yang ditawarkan kepada mereka yang berumur 15 hingga 55 tahun bertujuan memastikan kesejahteraan golongan suri rumah serta mengiktiraf sumbangan mereka kepada keluarga dan pembangunan negara.
Menurut Ketua Perkhidmatan KWSP Alor Setar Mohd Sobri Abdul Wahab, pencarum bakal menerima insentif khas sebanyak 50 peratus bagi setiap RM1 caruman sehingga maksimum RM300 dalam tahun semasa.
“Selain itu pencarum dan pendeposit juga akan menikmati dividen tahunan atas simpanan persaraan, bantuan khairat kematian dan pelepasan cukai yang tertakluk kepada terma dan syarat dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN),” jelasnya ketika ditemui krew Malaysia Aktif dalam Program Perkhidmatan Kaunter KWSP bergerak di Pejabat Penerangan Pendang, semalam.
Kaunter Bergerak KWSP ini turut menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah pendaftaran i-Saraan, pendaftaran keahlian baru dan semakan simpanan ahli.
-ZS-