Laporan/foto: Nor Emylia Lot (Kuala Nerus)
KUALA NERUS, 31 Okt (MalaysiaAktif) – Karnival Inovatif menjadi platform bagi pelajar untuk mengasah kemahiran perniagaan dan membina keyakinan diri sebelum melangkah ke alam pekerjaan selepas tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di samping membantu mereka berfikir secara kreatif dan inovatif dalam menyediakan produk terbaik untuk dijual kepada pengunjung.
Seramai 50 pelajar Tingkatan 4 dan 5 SMK Ibrahim Fikri teruja menyertai Karnival Inovatif 2024 yang berlangsung selama dua hari di Dewan Ibrahim Fikri, di sini kelmarin.
Pelajar Tingkatan 5 Aqilah Humairah Ahmad Rafzi, 17, yang mengendalikan gerai jualan makanan barat menawarkan menu menarik pada harga berpatutan.
“Chicken Chop dijual serendah RM3.80 dan menu paling mahal hanya RM9.80,” katanya.
“Saya memilih untuk menjual menu makanan barat kerana ia sangat popular dalam kalangan pelajar,” tambahnya lagi.
Irene Zahra Mohd Jafni, 17, juga pelajar Tingkatan 5 yang menjual roti dan produk bakeri, berkata pameran ini memberi peluang kepada pelajar Tingkatan 5 khususnya untuk mendapatkan pengalaman berharga dalam perniagaan.
“Kami didorong oleh guru-guru untuk membuka gerai dengan idea dan kreativiti sendiri. Karnival ini bukan sahaja memberi pengalaman tetapi juga menjadi cara penilaian dalam subjek Grafik Digital,” ujarnya.
-AA-