Laporan/foto: Mohd Faizal Mansor (Pontian)
PONTIAN, 15 Okt (Malaysiaaktif) – Ahli-ahli Komuniti MADANI di daerah Pontian perlu mempelajari sesuatu yang baru khususnya dalam meningkatkan strategi pemasaran dan promosi produk-produk mereka melalui aplikasi media sosial.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup Datuk Jefridin Atan, berkata walaupun Komuniti MADANI mempunyai pelbagai produk untuk diketengahkan, namun tanpa sebarang bentuk promosi amat mustahil untuk produk-produk tersebut untuk berkembang maju dan diketahui umum.
“Kawasan DUN Kukup terkenal dengan produk ekopelancongan dan produk-produk makanan keluaran Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang turut mendapat pelbagai bantuan dari agensi kerajaan persekutuan dan negeri yang sewajarnya dibantu dari segi bentuk promosi dan hebahan,” katanya ketika merasmikan Program Jiwa Komuniti Madani serta Pelancaran Program Sejahtera Komuniti Madani Peringkat Parlimen Tanjung Piai di Tanjung Piai Resort, di sini hari ini.
Menurutnya lagi Jabatan Penerangan (JaPen) juga diseru agar membantu mempromosi produk-produk yang dihasilkan oleh pengusaha dalam Komuniti MADANI selain berperanan sebagai agensi penyampai maklumat dan dasar kerajaan,
“Saya yakin kepakaran yang ada pada JaPen dalam mewar-warkan produk-produk ini melalui platform media sosial ke pengetahuan masyarakat dalam dan luar negeri ini mampu merancakkan lagi kegiatan ekonomi di kawasan Kukup,” katanya.
Pada program sama, Jefridin turut menyampaikan plak peruntukan Sejati MADANI kepada mukim-mukim di bawah kawasan DUN Kukup.
Turut hadir Pegawai Penerangan Daerah Pontian Mohd Faizal Mansor.
-ZS-