Laporan/foto: Dg Yusridah Asrin (Sabah)
TUARAN, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Pendidikan bertunjangkan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) perlu dipergiatkan ke setiap peringkat dan diperkenalkan lebih awal kepada anak-anak di bangku sekolah rendah.
Program seumpamanya juga mendukung usaha Kementerian Pendidikan melahirkan generasi berdaya saing, berinovasi tinggi dan menguasai kemahiran yang relevan bagi menghadapi perkembangan pesat teknologi global.
Aspirasi tersebut telah disambut baik oleh warga Sekolah St. John (M) Tuaran dan ibu bapa melalui penganjuran program Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Karnival STEM 2024 peringkat sekolah.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr. Mohd Ariffin Mohd Arif, berkata pendekatan yang dilaksanakan pihak sekolah telah memberi ruang kepada generasi muda ini meneroka dunia STEM dengan pedagogi yang interaktif.
“Dengan adanya reruai pameran STEM dan hasil reka cipta yang inovatif, pameran ini pasti menarik minat murid dalam bidang STEM, sambil memeriahkan suasana sambutan Hari Kanak-Kanak.
“Perkembangan kanak-kanak secara holistik dalam aspek fizikal, kognitif, bahasa, sosio-ekonomi, sahsiah, dan rohani amat penting untuk melahirkan pemimpin negara yang berwibawa,” katanya menerusi ucapan perasmian program tersebut, di sini pada Selasa.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Harun Durabi.
Sementara itu, Guru Besar Sekolah St. John (M) Frederica Tingka, berharap agar program tersebut dapat memupuk minat murid terhadap bidang STEM.
“Melalui pendekatan interaktif dan menyeronokkan yang diaplikasikan sepanjang karnival ini, murid-murid berpeluang untuk memahami konsep STEM sambil mereka meneroka pengalaman baharu,” katanya.
Dalam masa yang sama, mewakili ibu bapa murid Lidwina Gedwin, 33, percaya program seumpamanya perlu diteruskan dengan menerapkan lebih banyak aspek STEM selaras dengan perkembangan dunia teknologi generasi baharu.
“Program ini bukan sahaja meriah, tetapi juga mendidik anak-anak tentang pentingnya mengitar semula bahan buangan dan ini juga pastinya menyerlahkan kreativiti murid.
“Saya berharap program ini diteruskan setiap tahun bagi memberi ruang kepada anak-anak untuk mengasah bakat mereka ditambah dengan pengenalan kepada teknologi digital yang digunakan dalam bidang STEM,” ujarnya.
Untuk makluman Sambutan Hari Kanak-Kanak dan Karnival STEM 2024 ini dihadiri oleh kira-kira 1,000 peserta yang terdiri daripada murid-murid, ibu bapa dan guru-guru di Dewan St. John (M).