Skip to main content
Berita TempatanBerita TimurPahang

Kempen Penghijauan Hutan Malaysia Pulih Semula Kawasan Pencerobohan Hutan Simpan

By 30 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Intan Saziana/Sunito (Cameron Highlands)

CAMERON HIGHLANDS, 30 Okt (Malaysiaaktif) – Program Kempen Penghijauan Malaysia iaitu satu program pemulihan semula kawasan teroka hutan simpan mendapat sambutan baik daripada agensi kerajaan dan komuniti setempat.

Siti Rothemanizan ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena program Kempen Penghijauan Malaysia.

Salah seorang peserta program, Norisam Sahidan, 46, berkata beliau bersama pelbagai agensi lain di daerah ini menyahut seruan kerajaan dalam kempen tersebut.

“Kami turut sama bertanggungjawab dalam pemuliharaan hutan simpan di daerah ini iaitu dengan melaksanakan penanaman pokok yang bersesuaian di tanah tinggi ini,” katanya.

Menurutnya lagi, program seperti ini perlu diteruskan lagi dari semasa ke semasa bagi memastikan daerah ini dipenuhi dengan kehijauan kerana tempat ini juga merupakan tempat pelancongan yang akan sentiasa dikunjungi oleh orang ramai sebagai lokasi percutian.

Program ini bertujuan untuk memulihkan semula kawasan pencerobohan hutan simpan yang telah diterokai dengan menjalankan inisiatif menanam semula pokok di kawasan terlibat sebagai langkah mengembalikan keseimbangan alam semula jadi dan memastikan kesinambungan sumber-sumber berharga.

Wakil jabatan dan agensi yang turut hadir memberikan sokongan kepada program ini.

Sebanyak 17 jabatan dan agensi kerajaan di daerah Cameron Highlands menyertai kempen ini yang diadakan di Hutan Simpan Sungai Ichat dan Hutan Simpan Batu Gangan, di sini semalam.

Penolong Pegawai Daerah Siti Rothemanizan Otheman turut hadir merasmikan program mewakili Pegawai Daerah Cameron Highlands.

-ZS-

Tinggalkan komen anda