Laporan/foto: Noorul Arizah Md Razani (Rembau)
REMBAU, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Program Sejahtera Komuniti Madani (SejaTi MADANI) merupakan inisiatif kerajaan yang bertujuan merancakkan aktiviti ekonomi di peringkat komuniti bagi meningkatkan pendapatan dengan pemberian dana sehingga RM100,000 kepada komuniti yang layak.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Suhaimi Aini, melalui program ini diharapkan dapat membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam usaha meningkatkan pendapatan komuniti serta memberi peluang pekerjaaan kepada komuniti setempat.
Katanya, Majlis Perasmian ATV Ride Kampung Semerbok yang diadakan di Balai Raya Kampung Semerbok, di sini semalam adalah untuk memperkenalkan salah satu produk pelancongan yang telah berjaya dilaksanakan di bawah SejaTi MADANI.
“Di DUN Kota terdapat sebanyak 25 kampung dan 21 daripadanya telah disalurkan peruntukan sebanyak RM100,000 setiap kampung. Keseluruhan yang akan disalurkan adalah sebanyak RM1.8 juta untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota ini.
“Ini adalah satu gerakan atau proses kerajaan memberi mandat kepada JPKK untuk menguruskan satu projek yang mampu menjana ekonomi setempat untuk melaksanakan aktiviti diperingkat kampung itu sendiri, bukan sahaja di peringkat kampung malahan untuk semua agensi dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan),” katanya.
Ahli Jawatankuasa JPKK kampung tersebut Juliana Othman, 35, berkata ATV Ride ini akan menjadi salah satu daya tarikan penggemar-penggemar aktiviti sukan lasak.
Turut hadir Timbalan Pengarah Pejabat Pembangunan Negeri Mahila Sofina Mahmood.
-ZS-