Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Havoc Food Festival: Lubuk Rezeki Usahawan

By 31 Oktober 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noorsiah Mahmud (Sabah)

KOTA KINABALU, 31 Okt (Malaysiaaktif) – Selepas Negeri Sembilan, Havoc Food Festival (HFF) buat julung kalinya dianjurkan di ibu negeri Sabah, Kota Kinabalu.

Penglibatan lebih 120 vendor makanan daripada Semenanjung tanah air dan Sabah menjadikan festival gastronomi itu menjadi pilihan utama masyarakat setempat selain lubuk rezeki buat usahawan tempatan.

Roshidayah ketika ditemui di hadapan gerai Cheesetart Buncit miliknya.

Menurut vendor Cheesetart Buncit, Roshidayah Rozali, 32, sambutan yang sangat di luar jangkaan ketika menyertai Sabah Mega Food Festival, Ogos lalu mendorong beliau untuk sekali lagi datang ke Sabah bagi memenuhi permintaan yang sangat menggalakkan.

“Untuk tour (jelajah) kali ini, kami membawa 40,000 cheese tart (tat keju) yang akan tersedia sepanjang lima hari festival. Kami berharap jumlah ini mencukupi, terutama setelah pengalaman sebelumnya di Likas dan Tawau, di mana kami tidak dapat memenuhi permintaan.

“Sambutan sangat menggalakkan daripada orang Sabah, walaupun ada lapan orang pembantu masih tidak cukup tangan melayani pelangan, saya berharap agar Cheesetart Buncit ini dapat membuka cawangan di Sabah untuk memudahkan pelanggan mendapatkan produk ini di negeri ini,” katanya ketika ditemui di HFF di sini pada Rabu.

Antara ribuan pengunjung HFF, Siti Shaerah Sulung, 28, antara yang teruja dengan penganjuran festival tersebut yang disifatkan mesra pelanggan dan sesuai diadakan ketika musim cuti sekolah.

Siti di hadapan gerai Cheesetart Buncit bersama tat keju kegemarannya.

“Saya pertama kali merasainya semasa Festival di Kompleks Likas. Apabila mendengar ada dijual di sini, saya datang lagi dan harga yang ditawarkan sangat berbaloi dengan rasanya yang sedap.

Cheese tart ini juga menjadi kegemaran keluarga saya terutama anak-anak, dan saya yakin festival sebegini sesuai diadakan ketika musim cuti sekolah, supaya ada aktiviti untuk ibu bapa dan anak-anak,” katanya.

Havoc Food Festival 2024 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) Kota Kinabalu selama lima hari bermula 30 Oktober hingga 3 November dan dibuka kepada pengunjung bermula pukul 10.00 pagi hingga 10.00 malam.

-ZS-

Tinggalkan komen anda