Laporan/foto: Nurlaila Abdul Azid (Hilir Perak)/BBP Teluk Intan
TELUK INTAN, 7 Nov (Malaysiaaktif) – Kejadian kebakaran Dewan Arena Square Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), di sini malam Ahad lalu yang dipercayai berpunca daripada percikan bunga api yang ditembak ke arah bumbung dewan menggemparkan seluruh penduduk di daerah ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Intan Mohd Ismail Mohd Yunus, berkata sebaik menerima panggilan kecemasan kebakaran kira-kira pukul 11.18 malam, sepasukan anggota telah digerakkan ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.
“Kebakaran yang melibatkan lapisan penebat haba aluminium di bawah bumbung itu berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 45 minit sebelum ia merebak ke seluruh dewan,” ujarnya ketika dihubungi semalam.
Ekoran kejadian itu, Mohd Ismail mengingatkan penduduk supaya sentiasa mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa serta mendapatkan kelulusan dan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkenaan penggunaan mercun atau bunga api.
“Jika permohonan penggunaan mercun atau bunga api diluluskan oleh PDRM, penganjur perlu menitikberatkan aspek keselamatan yang rapi dan memastikan pembekal bahan tersebut mempunyai lesen sah dan telah diperakui oleh pihak kerajaan.
“Orang ramai juga dilarang sama sekali untuk bermain mercun atau bunga api di kawasan tertutup atau berbumbung,” katanya.
Kelmarin, seorang penganjur majlis hari jadi direman seminggu bagi membantu siasatan insiden kebakaran itu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri, berkata perintah reman sehingga 11 November ini terhadap lelaki itu adalah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
-ZS-