Laporan/foto: Zaidy Salim/Facebook Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA, 20 Nov (Malaysiaaktif) – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini bimbang terhadap syarikat penyedia menara telekomunikasi di bawah Fasa 1 JENDELA khususnya di Sabah masih gagal menyediakan liputan kepada rakyat.
“Sebagai contoh, di Sabah setakat ini hanya 215 daripada 382 menara yang sepatutnya diserahkan telah siap. Lebih mengecewakan, daripada jumlah itu, hanya 61 peratus atau 130 menara, yang berstatus on air,” katanya.
“Ini sangat tidak memuaskan. Setiap kali saya ke Sabah, kita akan adakan perbincangan dengan syarikat-syarikat yang diamanahkan. Mereka menandatangani kontrak, setuju untuk lakukan, tapi culas dan lewat,” katanya.
Menurutnya, Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) adalah program untuk membantu rakyat di kawasan pedalaman yang tidak mendapat liputan telekomunikasi dan bukan berasaskan keuntungan komersial.
“Ini adalah program untuk rakyat. Selepas ini saya akan meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) untuk menghantar surat kepada setiap ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) dan Ahli Parlimen bagi memaklumkan syarikat telekomunikasi mana yang gagal menyiapkan kerja selepas menara disiapkan,” katanya.
Katanya, terdapat menara yang sudah siap lebih sembilan bulan tetapi tidak mempunyai liputan Internet.
“Saya telah memanggil setiap CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) untuk memberi peringatan. Anda mesti siapkan tugas ini.
“Jika tidak, saya akan dedahkan nama dan nombor telefon anda di menara tersebut supaya rakyat tahu siapa yang melengah dan melambatkan projek ini,” katanya.
-ZS-