Laporan/foto: Radiah Rahim/Sh. Nurrul
KUANTAN, 30 Nov (Malaysiaaktif) – Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 adalah ikhtiar Kerajaan Negeri yang telus dan menyeluruh untuk meletakkan negeri Pahang ke suatu tahap yang lebih baik serta menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri.
Bersandarkan kepada perspektif ini, maka tema ‘Prestasi Dipertingkat, Kemakmuran Dipertahan’ telah dipilih menjadi teras utama kepada intipati keseluruhan Belanjawan Negeri Pahang untuk tahun 2025.
Belanjawan 2025 telah dibentangkan oleh Menteri Besar Pahang Datuk Sri Diraja Haji Wan Rosdy Wan Ismail semalam di Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-3 Dewan Negeri Pahang di Wisma Sri Pahang.
Menurut Menteri Besar Pahang belanjawan ini bagi memastikan setiap aspek memakmuran negeri ini dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.
“Sesungguhnya Belanjawan Negeri Pahang Tahun 2025 adalah ikhtiar Kerajaan Negeri yang telus dan menyeluruh untuk meletakkan negeri Pahang ke suatu tahap yang lebih baik serta menjadikan rakyat sebagai keutamaan dalam agenda pembangunan negeri”, katanya.
Ujarnya lagi, Kerajaan Negeri akan melancarkan satu Projek Pangsapuri Pahang khas kepada golongan muda yang berpendapatan rendah.
“Keprihatinan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan semua generasi di negeri ini terus terpelihara dan pelaksanaan projek bakal dibangunkan ke setiap daerah di negeri Pahang,” katanya.
Dalam pada itu, penjawat awam di bawah Kerajaan Negeri Pahang turut mendapat ganjaran apabila Kerajaan Negeri bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak satu bulan setengah gaji.
Bayaran ini akan dikreditkan pada tahun 2025 yang melibatkan keseluruhan peruntukan sebanyak RM33.3 juta.
-ZS-