Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Kerajaan Negeri Sabah Komited Perkasa Golongan Belia

By 5 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: AgKu Marzuki Ag Latip/Mohd Maqdi Salleh (Sabah)

TAWAU, 5 Nov (Malaysiaaktif) – Kerajaan Negeri Sabah terus komited dalam memperkasa belia melalui pembangunan modal insan dengan menekankan pentingnya penglibatan golongan ini dalam aktiviti masyarakat setempat.

Bagi menggapai usaha ini, Karnival Anak Muda Sabah Maju Jaya (SMJ) Kalabakan antara salah satu inisiatif utama untuk merapatkan hubungan antara belia dan masyarakat di peringkat akar umbi.

Andi ketika gimik perasmian penutupan Karnival Anak Muda SMJ Kalabakan.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Noor menjelaskan bahawa program ini selaras dengan Pelan Hala Tuju SMJ yang menekankan pembangunan modal insan, terutama dalam kalangan anak-anak muda negeri ini.

“Usaha ini juga adalah manifestasi kerajaan untuk memartabatkan golongan belia di seluruh negeri, selaras dengan aspirasi teras kedua pelan pembangunan Hala Tuju SMJ iaitu Pembangunan Modal Insan.

“Program ini merupakan salah satu langkah Kerajaan Negeri untuk memperbanyakkan aktiviti yang melibatkan belia di peringkat akar umbi.

“Masa depan negara dan rakyat kita adalah di tangan generasi muda masa kini, iaitu belia. Oleh itu, penglibatan belia di peringkat akar umbi akan terus diperhebatkan,” katanya ketika berucap merasmikan Karnival Anak Muda SMJ Kalabakan, di sini pada Ahad.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah merangkap Ahli Parlimen P.191 Kalabakan, Datuk Andi Suryady Bandy.

Tegasnya lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi komitmen untuk membangunkan belia tempatan antaranya menerusi Program Pembangunan Kepimpinan Belia yang meliputi aktiviti kesukarelawanan dan perpaduan sosial dengan peruntukan sejumlah RM16.42 juta pada tahun ini.

Penyampaian dana Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS).

“Program ini juga antara lain untuk melahirkan pemimpin belia yang berkualiti tinggi dengan membelanjakan jumlah yang besar untuk menyediakan pelbagai inisiatif dalam aspek pendidikan seperti menyediakan biasiswa, dermasiswa dan pinjaman pendidikan. Ini bagi memastikan anak-anak kita dapat meneruskan pengajian mereka hingga ke tahap lebih tinggi.

“Di samping itu, kerajaan turut menyediakan Tabung Pendidikan Negeri Sabah dan Yayasan Kebajikan Sabah, termasuk beberapa insentif lain dengan objektif untuk membantu rakyat yang amat memerlukan bantuan segera, terutama mereka yang berada dalam kategori B40 dan M40,” ujarnya.

Untuk makluman Karnival Anak Muda SMJ Kalabakan anjuran Pejabat Parlimen 191 Kalabakan dan Pertubuhan Penggerak Bakti Kalabakan (PBK) disertai para belia sekitar Tawau dan Kalabakan.

-ZS-

Tinggalkan komen anda