Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Kursus Penternakan Ayam Kampung Beri Peluang Peniaga Tambah Pendapatan

By 8 November 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohammad Rasuli/Mior Asrul Hadi (Bagan Datuk)

HUTAN MELINTANG, 8 Nov (Malaysiaaktif) – Penutupan Kursus Penternakan Ayam Kampung dan Bancuhan Dedak di Dewan Masjid Ubudiah Parit 19, di sini semalam berjaya mencapai objektifnya dalam memberi pengetahuan kepada peniaga berkenaan ilmu penternakan ayam kampung dan peluang perniagaan yang boleh diceburi bagi tujuan menambah pendapatan.

Mohamad Mahathir (tiga dari kiri) hadir merasmikan program.

Pengerusi Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (PPPKM) Negeri Perak cawangan Bagan Datuk Noor Man Abidan, berkata program bertemakan ‘Membina Usahawan Desa Bagan Datuk’ itu dianjurkan oleh pihaknya dengan kerjasama Syarikat Penternakan Sumber Unggas.

“Program yang berlangsung selama dua hari bermula Rabu itu telah dihadiri hampir 100 peserta dan tiada yuran dikenakan.

“Peserta juga menerima Sijil Penyertaan, Dedak Ayam Pemula seberat satu kilogram dan membawa pulang lima ekor anak ayam kacuk setelah tamat kursus ini,” ujarnya.

Beliau turut berharap kursus yang dianjurkan ini akan membantu peniaga dan menaikkan ekonomi di Bagan Datuk malah pihaknya akan melaksanakan lebih banyak program demi memperkasa penjaja dan peniaga kecil.

Sementara itu, Pegawai Tugas-Tugas Khas Pejabat Perdana Menteri Mohamad Mahathir Mohamed Younus, dalam ucapan perasmian menzahirkan ucapan tahniah kepada PPPKM dan Syarikat Sumber Unggas atas kejayaan menjayakan kursus tersebut.

Antara peserta kursus.

“Kursus sebegini bukan sahaja menjadi platform kepada peniaga untuk berkongsi pengalaman dan menambah pengetahuan dalam bidang perniagaan yang diusahakan malah membantu meringankan beban yang dialami dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup,” ujarnya yang hadir mewakili Setiausaha Politik Perdana Menteri Datuk Azman Abidin.

Turut hadir Pegawai Tugas-Tugas Khas Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Pengerusi Ahli Jemaah Pengarah Pertubuhan Peladang Kawasan Hutan Melintang Datuk Khairuddin Tarmizi.

-ZS-

Tinggalkan komen anda