Laporan/foto: Syahirah Hashim (Petaling)
PETALING JAYA, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Ekspo Bandar Mesra Kanak-kanak Petaling Jaya (PJCFC Expo) 2024 merupakan platform bagi Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) terhadap kesejahteraan kanak-kanak.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Mohamad Zahri Samingon, berkata fokus utama ekspo tahun ini adalah Anugerah Kecemerlangan Bandar Mesra Kanak-Kanak Petaling Jaya yang pertama kali diperkenalkan bagi mengiktiraf usaha individu dan organisasi dalam membentuk persekitaran mesra kanak-kanak.
“MBPJ beriltizam untuk memastikan penglibatan menyeluruh daripada setiap lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak dalam setiap projek pembangunan,” katanya, di sini semalam.
Acara ini diadakan bersempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia dengan kerjasama Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia.
Ekspo yang berlangsung selama dua hari bermula 21 hingga 22 November lalu di Dewan Sivik MBPJ menghimpunkan peserta tempatan, antarabangsa serta beberapa bandar lain di Malaysia untuk menyertai sambutan ini.
Salah seorang peserta Nur Maisarah Ahmad, 14, sangat teruja kerana berpeluang menyertai pelbagai aktiviti menarik.
Bandar raya Petaling Jaya menjadi bandar pertama di Malaysia yang meraih status Bandar Mesra Kanak-Kanak oleh UNICEF pada 2023.
-ZS-