Laporan/foto: Md Khairul Azad Yunus (Labuan)
LABUAN, 23 Nov (Malaysiaaktif) – Program Rehlah Dakwah anjuran Persatuan Sahabat Khidmat Labuan (PSKL) di sembilan lokasi sekitar Labuan menyuburkan majlis ilmu di pulau itu.
Menurut Pengerusinya Mohd Saiful Mahmud, program selama empat hari yang bermula 21 hingga 24 November ini bertujuan menggalakkan masyarakat khasnya umat Islam di pulau itu menghadiri majlis-majlis ilmu sekali gus memperolehi pelbagai manfaat serta ilmu yang berguna.
“Selain itu, program ini juga bagi menyebar dan mengeratkan kasih sayang antara warga Labuan dalam majlis ilmu selari dengan dakwah Baginda Rasulullah SAW iaitu dengan kasih sayang kerana Rasulullah dihantar sebagai rahmatan lil alamin (sebaran kasih sayang buat seluruh alam).
“PSKL turut mengundang Jurubahasa Isyarat dari persatuan Orang Pekak Labuan dalam program kami untuk membantu usaha dakwah kepada Golongan Orang Kurang Upaya (OKU),” katanya semasa ditemui pada Program Forum Perdana : Anakku Sazali, Si Tanggang, Salah Siapa? di Surau Ganggarak Permai, di sini kelmarin.
Jelas beliau lagi, penganjuran majlis ilmu yang dianjurkan mereka semakin mendapat sambutan yang menggalakkan khasnya daripada umat Islam di Labuan.
“Sebelum ini kami sudah beberapa kali menganjurkan majlis ilmu dengan menampilkan penceramah hebat seperti Ustaz Abdullah Khairi, Ustaz Das’ad Latif dan kami mendapati kehadiran warga Labuan amat membanggakan serta tidak kurang juga yang terus memberi dorongan kepada kami untuk mengadakan lebih banyak majlis ilmu.
“Kami berharap agar usaha kami ini mendapat sokongan daripada pemimpin masyarakat dan semua pihak agar matlamat kita untuk mendekatkan masyarakat dengan majlis ilmu serta golongan agamawan ini menjadi lebih efektif serta memberi impak yang positif,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi kerajaan, swasta dan badan bukan kerajaan yang menjadi rakan strategik dalam merealisasikan penganjuran program tersebut.
Forum Perdana : Anakku Sazali, Si Tanggang, Salah Siapa? yang dianjurkan dengan kerjasama Surau Ganggarak Permai itu menampilkan tiga pendakwah terkenal iaitu Ustaz Muhammad James Baven Al Almaniy, Ustazah Muzayyanah Abdullah dan Ustaz Azwan Ali.
-ZS-