Laporan/foto: Aini Aziz/Politeknik Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 Nov (Malaysiaaktif) – Primula Beach Hotel Kuala Terengganu telah melaksanakan Program Food Bank bagi membantu meringankan beban pelajar B40 yang sedang menuntut di Politeknik Kuala Terengganu (PKT), di sini hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam PKT, Nurul Ain Mohamed Hassim, berkata sumbangan yang berupa makanan sedia dimakan itu diharapkan dapat mengurangkan kos perbelanjaan harian pelajar yang terlibat.
“Program ini adalah kesinambungan inisiatif yang dimulakan oleh Hotel Paya Bunga yang sebelum ini turut mengundang pelajar PKT untuk menikmati hidangan di hotel tersebut,” ujarnya.
Usaha murni ini jelas menunjukkan sokongan dan keprihatinan pihak hotel terhadap kesejahteraan golongan pelajar khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi.
“Semoga program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas untuk memberikan manfaat yang lebih besar kepada golongan pelajar yang memerlukan,” katanya.
-AA-