Laporan/foto: Saiful Nizam Ibrahim (Johor Bahru)
JOHOR BAHRU, 14 Nov (Malaysiaaktif) – Pemuliharaan warisan dan sejarah penting untuk memastikan khazanah sesuatu bangsa terus berkembang dan kekal relevan.
“Sejarah dan warisan merupakan komponen rohani atau jiwa dalam identiti sesebuah bandar raya atau negeri sehingga kita tidak mampu membayangkan sesebuah bandar raya itu tanpa sejarah dan warisannya,” kata Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Datuk Osman dalam ucapan majlis penutup Simposium Antarabangsa Johor Global 2024 di Dewan Kenanga, Majlis Bandaraya Johor Bahru, di sini semalam.
Simposium anjuran Yayasan Warisan Johor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru dan Jabatan Muzium Malaysia selama dua hari yang berakhir semalam, telah dihadiri lebih 2,000 orang peserta.
Berkonsep penyatuan, melalui pembentangan empat buah negara iaitu Malaysia, Singapura, Indonesia dan juga Brunei, Simposium Antarabangsa Johor Global 2024 turut membincangkan mengenai hubungan Johor dalam konteks alam Melayu dan bicara intelektual budaya gambus.
Golongan belia khususnya dapat mempelajari melalui perkongsian sejarah dan budaya empat negara melalui pameran sejarah serta keunikan seni gambus.
Simposium ini turut menjadi platform kepada golongan belia untuk mendalami identiti nasional dan nilai persahabatan yang menjadi teras keberadaaan Johor di Alam Melayu.
Pensyarah Universiti Maritim Indonesia, Raja Ali Haji Abdul Malik, 51, berkata kita mempunyai warisan serumpun yang seakan sama dan boleh diangkat bagi memartabatkan lagi budaya khususnya gambus di persada antarabangsa”.
Penolong Pegawai Sejarah Tingkat 1 Brunei, Mohammad Abdillah Solehan, 32, pula berkata simposium ini dapat memberi pengetahuan kepada pengunjung dari segi budaya, kenegaraan dan muzik melalui gambus yang mempunyai elemen tersendiri di setiap negara itu sendiri.
Menurut Jurulatih Seni Visual, Sekolah Seni Malaysia Johor (SSeMJ) Faezah Bahari, 40, simposium tersebut memberi pengalaman yang baru bagi SSeMJ yang mempamerkan seni kenegaraan empat buah negara yang turut mengambil peluang dalam pameran bertemakan seni dan budaya.
“Harapan saya moga program sebegini dapat dibuat lebih kerap lagi supaya dapat memberi impak yang lebih optimum kepada masyarakat umum,” katanya.
Turut hadir Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor merangkap Karyawan Tamu Yayasan Warisan Johor Datuk Kassim Thukiman dan Pengarah Muzium Diraja Abu Bakar Datuk Mohamed Perang Musa.
-ZS-