Skip to main content
Berita TempatanBerita Sabah & LabuanSabah

Bank Tempatan Proaktif Mendidik Masyarakat mengenai Penipuan Kewangan Dalam Talian

By 7 Disember 2024Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Hendry Nurdin/Mohd Shakir Salleh (Sabah)

LAHAD DATU, 7 Dis (Malaysiaaktif) – Seiring dengan pesatnya kemajuan dunia digital, penipuan kewangan dalam talian telah menjadi isu yang semakin kritikal.

Dalam menghadapi cabaran ini, bank-bank tempatan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai risiko jenayah tersebut.

Yusnita ketika menyantuni dan menjawab persoalan pengunjung yang hadir program tersebut.

Institusi kewangan berkenaan turut menyediakan panduan tentang langkah-langkah perlindungan yang perlu diambil masyarakat bagi memastikan keselamatan kewangan mereka.

Pengurus Bank Islam Cawangan Lahad Datu Yusnita Mohd Yusof, berkata sebagai institusi kewangan yang bertanggungjawab, bank seharusnya tidak hanya memberi tumpuan kepada penyediaan produk dan perkhidmatan perbankan tetapi juga memastikan pelanggan dilengkapi dengan pengetahuan yang diperlukan untuk mengelakkan penipuan.

“Kami ingin melihat masyarakat lebih celik kewangan dan sentiasa berhati-hati dengan teknik penipuan yang semakin canggih. Di pihak Bank Islam, kami memberi fokus untuk memastikan pelanggan kami lebih berhati-hati dalam urusan kewangan mereka.

“Dengan mendidik orang ramai mengenai penipuan yang sering berlaku. Kami berharap dapat mengurangkan bilangan mangsa yang terperangkap dalam penipuan,” katanya ketika ditemui dalam program “Jom Sihat Bersama Bank Islam Dan Bicara Scammer” bertempat di Dewan Tun Mustapha di sini pada Sabtu.

Program interaktif diadakan bersama pengunjung program tersebut.

Tambahnya, pihak bank turut menjalankan sesi taklimat dan bengkel secara berkala di cawangan untuk membantu pelanggan mengenal pasti taktik penipuan terkini.

“Dengan penyertaan aktif pelanggan dalam program-program ini, kami berharap dapat mewujudkan persekitaran kewangan yang lebih selamat dan memberi keyakinan kepada mereka untuk berurus niaga dalam dunia digital,” ujarnya.

Bagi kakitangan awam, Saharia Abd Latif, 46, beliau merakamkan penghargaan atas jemputan dan inisiatif pihak bank tempatan yang memberi tumpuan kepada pendidikan kewangan dan keselamatan digital seperti ini.

“Program ini memberi saya pengetahuan yang sangat berguna, bukan sahaja untuk diri saya tetapi juga untuk keluarga saya.

“Kami kini lebih faham tentang risiko yang ada dalam dunia digital dan lebih berhati-hati ketika melakukan transaksi. Ini sangat penting, terutama sekali dengan penipuan yang semakin canggih,” katanya.

Seorang lagi pengunjung iaitu Mohd Syah Samsudin, 43, berpendapat bahawa program yang dianjurkan oleh bank ini sangat membantu dalam meningkatkan kesedaran mengenai penipuan dalam talian.

“Sebelum ini, saya tidak begitu faham mengenai cara-cara scammer (penipu) beroperasi tetapi selepas mengikuti taklimat yang diadakan, saya lebih berhati-hati ketika berurus niaga dalam talian.

“Saya juga rasa lebih yakin untuk menggunakan aplikasi perbankan mudah alih kerana saya tahu langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil untuk melindungi diri,” ujarnya.

Dalam program tersebut, turut diadakan taklimat Isu Semasa ‘Penularan Berita Palsu’ yang disampaikan oleh Pejabat Penerangan Daerah Lahad Datu serta Taklimat Kesihatan yang disampaikan oleh Wellness Hub, Pejabat Kesihatan Kawasan Lahad Datu, kempen derma darah dan pameran interaktif dari beberapa jabatan dan agensi yang terlibat.

-ZS-

Tinggalkan komen anda