Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Latihan Awal Kesiapsiagaan Hadapi Gelombang Kedua Banjir

By 10 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto : Mohd Rafezan Shawal/Norliza Khamis (Johor Bahru)

JOHOR BAHRU, 10 Dis (Malaysiaaktif) — Agensi kerajaan yang terlibat dalam misi menyelamat dan persediaan menghadapi banjir perlu cekap dan peka dalam tugasan bagi menghadapi gelombang kedua banjir Monsun Timur Laut (MTL).

Penduduk kampung di beberapa kawasan dalam Kempas turut sama terlibat dalam latihan Simulasi Persediaan Menghadapi Banjir 

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt. Azrol Anuar Nor, berkata pegawai dan petugas yang berada di lapangan harus pantas dalam segala tindakan dan bersedia menghadapi situasi bencana dengan menjaga keselamatan semasa misi menyelamat.

Sesi taklimat oleh pegawai daripada Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) berkenaan tatacara dan panduan semasa berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) 

“Secara keseluruhan sangat berpuas hati dengan tahap kecekapan dan kerjasama antara agensi dalam memastikan segala tindak balas dapat dilakukan dengan efektif dan cepat dalam situasi banjir,” katanya selepas mengetuai latihan Simulasi Persediaan Menghadapi Banjir Peringkat DUN Kempas di Dewan Raya Kempas Baru, di sini, kelmarin.

Sementara itu, Ketua Kampung Kempas Permatang, Airizam Bollah, berkata simulasi yang diadakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Kempas Permatang ini sangat bermakna bagi penduduk di DUN Kempas ketika banjir.

“Beberapa kawasan di Kempas yang menjadi lokasi utama banjir telah terlibat dalam simulasi ini dan telah diberikan pendedahan awal ketika berlaku situasi banjir bagi memastikan penduduk yang terlibat dapat membuat persediaan awal,” katanya.

Seramai 50 orang terlibat dalam simulasi ini yang terdiri daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Kempas, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Negeri Johor, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor, Pejabat Daerah Johor Bahru, agensi-agensi lain dan penduduk kampung.

-AA-

Tinggalkan komen anda