Laporan/foto: Rashid Ibrahim/Mohd Zahairi Ahmad Zabidi (Mersing)
MERSING, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Jawatankuasa Geopark Kebangsaan telah mengenal pasti daerah Mersing sebagai calon Geopark Kebangsaan terbaik di Johor berdasarkan keistimewaan (warisan) geologi dan landskap serta kehidupan komuniti setempatnya.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Mohd Zukeri Abdul Ghani, berkata Mersing memenuhi definasi geopark iaitu satu wawasan pembangunan lestari wilayah yang memberi tumpuan kepada pembangunan seimbang antara pemuliharaan warisan alam (geologi) yang bernilai kebangsaan atau antarabangsa.
“Dengan komitmen dan kerja keras khususnya daripada penduduk Mersing, impian menjadikan Mersing sebagai pusat geopark kebangsaan akan terlaksana bagi memastikan selain kekayaan biodiversiti marin, warisan geologi unik dan berkepentingan antarabangsa turut dipulihara dan dibangunkan untuk faedah masyarakat tempatan,” katanya ketika ditemui sempena program Promosi dan Kesedaran Geopark kepada Komuniti Pendidikan Mersing bertempat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Mersing, di sini semalam.
Tambah Mohd Zukeri, SMK Seri Mersing merupakan sekolah pertama yang terpilih menjadi Sekolah Angkat Geopark di Johor.
Guru sekolah tersebut Abdul Aziz Othman, berkata pemilihan SMK Sri Mersing sebagai Sekolah Angkat Geopark adalah sangat bertepatan kerana kedudukannya yang strategik.
“Sekolah ini berhampiran dengan tepian pantai yang terkenal di negeri Johor selain kedudukannya juga berdekatan dengan pejabat-pejabat kerajaan dan struktur asas bangunan ini adalah sekolah lama dan paling awal dibina sejak 1950 di daerah Mersing,” katanya.
Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau Alwiyah Talib.
-ZS-