Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerlis

JAS Negeri Perlis Memandang Serius Aduan Pencemaran Alam Sekitar

By 12 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Noor Aini Hanapiah

KANGAR, 12 Dis (Malaysiaaktif) – Sepasukan penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Perlis pada petang semalam telah bergegas membuat pemeriksaan di lokasi kejadian di Jalan Raja Syed Alwi, di sini menerusi aduan orang awam berkenaan pencemaran air longkang bertukar warna.

Penguatkuasa JAS memeriksa saliran longkang daripada premis berkaitan.

Menerusi kenyataan media, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri Perlis Jamal Affendey Shahar, berkata JAS Negeri Perlis memandang serius terhadap aduan pencemaran alam sekitar dan komited untuk mengambil tindakan yang segera demi kesejahteraan rakyat Negeri Perlis.

“Bertindak atas aduan yang diterima, sepasukan penguat kuasa JAS Negeri Perlis telah menjalankan pemeriksaan di lokasi yang diadu dan mendapati punca air longkang berwarna biru adalah disebabkan oleh sebuah premis menjual cat berhampiran yang telah melepaskan air cucian bekas-bekas cat ke dalam longkang berkenaan.

Siasatan awal mendapati pencemaran daripada premis perniagaan yang menjual cat.

“JAS Negeri Perlis telah mengeluarkan arahan segera kepada pemilik premis untuk menghentikan pencemaran dan telah mengambil sampel air untuk dianalisis di Jabatan Kimia Malaysia Cawangan Negeri Kedah bagi tindakan penguatkuasaan lanjut,” menurut kenyataan itu.

Menurut Jamal, tindakan tersebut adalah di bawah Seksyen 25, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang mana jika disabitkan kesalahan, pemilik premis boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh tidak melebihi lima tahun dan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM50,000 dan tidak melebihi RM10 juta.

-ZS-

Tinggalkan komen anda