Laporan/foto: Mahyudin Abd Rani/Mohd Shahrizan Shahabudin (Seberang Perai Selatan)
SUNGAI ACHEH, 2 Dis (Malaysiaktif) – Gabungan Program Keluarga Peladang sempena Jubli Emas ke-50 dan Jelajah Usahawan Pulau Pinang Peringkat Daerah Seberang Perai Selatan berjaya menarik hampir 1,000 pengunjung di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Acheh, kelmarin.
Acara anjuran Lembaga Pertubuhan Peladang dengan sokongan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Pejabat ADUN Sungai Acheh ini menawarkan Jualan Rahmah seperti beras, minyak masak, gula, tepung dan telur ayam pada harga berpatutan. Jualan makanan dan minuman turut memeriahkan suasana.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan dan Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar Rashidi Zainol ketika merasmikan program menekankan pentingnya sokongan kepada usahawan kecil dalam memperkukuh ekonomi negara.
“Program ini menawarkan insentif dan geran kerajaan bagi membantu usahawan meningkatkan pendapatan mereka, sejajar dengan matlamat menjadi negara maju berpendapatan tinggi,” katanya.
Program yang dimulakan seawal pukul 7.00 pagi dengan larian komuniti, sukan rakyat, pameran agensi kerajaan dan sesi taklimat mencerminkan usaha merakyatkan ekonomi melalui pendekatan inklusif.
-ZS-