Skip to main content
Berita TempatanBerita Sarawak

1,176 Ikuti Program BLM Kelas B2 Parlimen Julau

By 2 Disember 2024Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Cecilia Daffi Francis Belen (Sarawak)

JULAU, 2 Dis (Malaysiaaktif) – Seramai 1,176 calon tempatan dari Julau dan Pakan telah menyertai Program Bantuan MyLesen (BLM) Kelas B2 Peringkat Parlimen P.209 Julau yang telah mula dilaksanakan pada Ogos lalu, melibatkan modul ujian bertulis, latihan memandu dan pengujian memandu bagi yang layak untuk memperolehi lesen kelas B2.

Penyampaian replika lesen kepada peserta.

Program BLM yang telah dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan pada 30 Mei tahun lalu merupakan penjenamaan semula Program Bantuan Lesen Keluarga Malaysia.

Matlamat utama program adalah untuk membantu golongan berpendapatan rendah atau B40 bagi mendapatkan lesen motosikal dengan kos yang minimum.

Ahli Parlimen P.209 Julau Datuk Larry Sng Wei Shien, berkata melalui inisiatif program ini, peserta diberi latihan serta kesedaran disiplin dalam mematuhi undang-undang di jalan raya selain membantu mempermudahkan mereka dalam menjalani urusan harian dan meningkatkan ekonomi.

“Statistik kemalangan jalan raya bagi tahun 2023 di Sarawak mencatat sebanyak 21,418 kes, kemalangan maut adalah sebanyak 378 kes manakala 198 kes adalah merupakan kes kemalangan motosikal.

Gimik perasmian program.

“Justeru, program ini adalah bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan sebanyak 50 peratus jumlah kematian akibat nahas jalan raya menjelang tahun 2030,” ujarnya semasa Majlis Perasmian Penutupan yang telah berlangsung di Kompleks Sukan Tertutup Julau, kelmarin.

Beliau turut menaruh harapan tinggi kepada semua peserta program agar dapat menjadi contoh pengguna jalan raya yang berdisiplin dan berhemah dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya di negara ini.

Pada perkembangan yang sama, Sng turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak terlibat terutama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang telah memberi kerjasama padu dalam menjayakan dan memastikan program berjalan dengan lancar sejak Ogos lepas.

Turut hadir Ketua Bahagian Kanan Pengurusan dan Unit Keselamatan Jalan Raya dan Korporat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Christopher Alex, Pegawai Daerah Pakan William Manggoi dan Penolong Pegawai Tadbir Nacklos Awang mewakili Pegawai Daerah Julau.

-ZS-

Tinggalkan komen anda