Laporan/foto: NorFadzlina Ahmad Fadzli
KOTA BHARU, 10 Jan (Malaysiaaktif) – Penantian selama 33 tahun bagi 40 pemilik kediaman Desa Seri Maju Padu Apartment kini berakhir apabila mereka akan menerima hakmilik strata setelah diselesaikan urusan pindah milik daripada pemilik tanah kepada pembeli petak.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, berkata majlis penyerahan hakmilik strata ini membuktikan komitmen Kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam menyelesaikan isu pemilikan strata terutama bagi penduduk yang telah mendiami kediaman sekian lama tanpa dokumen pemilikan.
“Perumahan ini adalah skim strata kelima yang berjaya didaftarkan hakmilik menerusi pembiayaan dana Kumpulan Wang Amanah Tabung Khas Hakmilik Strata (TKHS) yang dikawal selia oleh NRES yang berjaya didaftarkan pada 1 Ogos 2024,” katanya, di sini semalam.
Sementara itu, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan berharap kejayaan ini dapat dijadikan contoh untuk menyelesaikan isu yang sama di kawasan perumahan berstrata lain.
Salah seorang pemilik tanah yang menerima hakmilik strata Jasmine O, 65, menyatakan rasa gembira dan lega kerana setelah 33 tahun mendiami bangunan tersebut, akhirnya proses pendaftaran hakmilik strata berjaya diselesaikan.
Beliau memuji usaha pembiayaan oleh Kumpulan Wang Amanah TKHS pada tahun 2021, yang memungkinkan penyelesaian ini dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
Turut hadir Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Haji Daud.
-ZS-