
Laporan /foto: Norshazila Ahmad (Selangor)
SHAH ALAM, 21 Jan (MalaysiaAktif) – Siapa sangka beg paku yang unik tanpa jahitan merupakan hasil kreativiti usahawan Pusat Wanita Berdaya (PWB) Paya Jaras.

Naswathi menunjukkan demo pembuatan beg tangan paku di ruruai PWB Paya Jaras sempena Majlis Himpunan Wanita Selangor
Menurut Ahli Jawatankuasa PWB Paya Jaras, Naswathi Nawawi, idea menghasilkan beg tangan paku tercetus tahun lalu ketika menghadiri bengkel di Masjid Kota Damansara yang dikendalikan oleh Amira Fatiha Abdul Hamid, pengasas Paku Store.

Pengunjung tidak melepaskan peluang membeli Beg Tangan Paku yang dijual dengan harga di bawah RM100
“Saya berminat dengan pembuatan beg tangan paku ini kerana beg ini tidak perlu melalui proses jahitan, hanya menggunakan butang ketap serta menggunakan bahan seperti kulit, polivinil klorida (PVC) dan kulit sintetik untuk menghasilkan pelbagai rekaan beg tangan.
“Kemudian saya terus berhubung dengan Amira untuk menjadi tenaga pengajar di PWB Paya Jaras, dan saya juga mengambil inisiatif untuk mengumpul usahawan wanita yang berminat untuk mempelajari pembuatan beg tangan paku ini,” katanya ketika ditemui di reruai PWB Paya Jaras sempena Majlis Himpunan Wanita Selangor di IDCC Shah Alam, semalam.
Menurut Amira, beliau berbesar hati membantu usahawan wanita yang berminat untuk menceburkan diri dalam pembuatan beg tangan paku seterusnya menjana sumber pendapatan.
“Saya mula mengajar PWB Paya Jaras pada November tahun lepas, saya lihat mereka komited menghasilkan beberapa rekaan beg tangan paku mereka sendiri, malah saya turut bersama-sama membantu mereka dari segi promosi di media sosial,”ujarnya.
Amira Fatiha turut berkongsi rasa bangga melihat perkembangan pesertanya serta membuktikan bahawa kreativiti dan usaha berterusan mampu membuka peluang ekonomi, sekali gus memperkasakan usahawan wanita.
-AA-