Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Bohey Dulang: Pulau Permata Alam dengan Panorama Memukau di Semporna

By 20 Januari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Abdul Hadi Bin Abdul Ghani/Mazlan Bin Mohd Yusuf (Sabah)

SEMPORNA, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Pulau Bohey Dulang yang juga dikenali sebagai “Pu Mattoa Lalla Atoli” dalam bahasa Bajau Semporna bermaksud lelaki tua yang sedang tidur, sangat terkenal di kalangan pelancong tempatan dan luar negara dengan keindahan alam semulajadinya tersendiri.

Selain bentuk pulau yang menyerupai seorang lelaki tua yang berbaring, pulau kedua terbesar dalam Taman Laut Tun Sakaran ini, menawarkan pelbagai aktiviti menarik kepada pengunjung antaranya aktiviti menyelam, penginapan termasuk mendaki bukit setinggi lebih 300meter dari paras laut.

Pengurus Taman-Taman Sabah Semporna, Ghazali Hindi berkata, pulau ini terbentuk daripada bekas kawah gunung berapi yang runtuh, menjadikannya unik dengan topografi berbukit.

“Di tengah-tengah pulau terdapat sebuah lagun yang dipanggil Bohey Dulang, bermaksud kolam air dalam bahasa Bajau dan lagun ini dikelilingi oleh hutan bakau dan terumbu karang yang kaya dengan kehidupan laut.

Ghazali (tiga dari kanan) bersama kakitangan Taman-Taman Sabah Semporna.

“Selain menikmati pemandangan yang mengagumkan, pelawat boleh berenang, bersnorkel, menyelam, berkayak, memancing, atau sekadar bersantai di tepi pantai.

“Pulau ini juga memiliki tarikan lain seperti pusat penyelidikan marin, pusat pengajian Bajau Laut, dan kampung-kampung nelayan di sekitarnya,”ujarnya ketika menerangkan mengenai pusat pelancongan tersebut di sini pada Ahad.

Sementara itu, seorang pelancong dari Amerika Syarikat, Austin, 57, menyifatkan keindahan Pulau Bohey Dulang sebagai satu destinasi yang luar biasa dengan pelbagai elemen semulajadi menakjubkan untuk disimpan sebagai kenangan.

Austin (dua dari kiri) bersama keluarganya mendaki Bohey Dulang bersama pemandu pelancong Taman-Taman Sabah Semporna di sini semalam.

“Bohey Dulang adalah tempat yang sangat cantik di mana lautnya seperti lautan kristal biru yang memancarkan kilauan indah dan pantainya dihiasi pasir putih yang bersih.

“Pemandangannya dari atas bukit sangat luar biasa. Ia memberikan pengalaman yang tidak dapat dibandingkan dengan hiking di bukit-bukit biasa.

“Dari atas, kita boleh menikmati pandangan seperti seekor burung yang terbang melayang di langit biru, membolehkan kita melihat keindahan pulau ini dengan lebih jelas dan menyeluruh,” katanya ketika ditemui di sini pada Ahad.

Panorama Bohey Dulang yang memukau sesiapa sahaja yang mengunjunginya.

Untuk makluman, mengikut cerita penduduk setempat, pulau ini turut dikaitkan kisah legenda Puteri Salamia, seorang puteri dari Pulau Selakan yang dikatakan melarikan diri ke Bohey Dulang untuk menghindari perkahwinan paksa dengan seorang sultan yang zalim.

Selain itu, pulau yang terletak sejauh 23 kilometer daripada Semporna ini juga dipercayai menyimpan misteri tujuh telaga yang menjadi sebahagian daripada warisan cerita turun-temurun masyarakat setempat.

-RJ-

Tinggalkan komen anda