Skip to main content
Berita TempatanBerita UtaraPerak

Projek Tanaman Salad Kerinting SejaTi MADANI Beri Manfaat Penduduk Kampung

By 20 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mohd Alihanafiah Mohd Khairy (Hilir Perak)

TELUK INTAN, 20 Jan (Malaysiaaktif) – Projek tanaman salad kerinting atau nama saintifiknya ‘Lactuca sativ var. crispa’ yang diusahakan di bawah inisiatif SejaTi MADANI oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Ara, di sini, membuahkan hasil dan memberi manfaat kepada penduduk serta peniaga setempat.

Mohd Faizal ketika menunjukkan proses menuai salad.

Menurut Penyelia Ladang yang juga Setiausaha JPKK Mohd Faizal Mehat, projek ini bermula pada Disember tahun lalu sebaik permohonan peruntukan SejaTi MADANI sebanyak RM100,000 diluluskan.

“Kemudian, anak benih salad berusia 21 hari telah mula ditanam di bawah rumah lindungan hujan dan serangga. Alhamdulillah, ia berkembang dengan baik dan hasilnya berjaya dituai sejak 5 Januari lalu.

“Hasil tuaian salad ini dijual secara berperingkat kepada peruncit, pengusaha kedai makan dan penjual laksa serta kepada penduduk kampung yang datang terus ke ladang,” katanya ketika ditemui di ladang tersebut, di sini kelmarin.

Menurut Mohd Faizal, peruntukan yang diterima membolehkan JPKK mendapatkan khidmat pakar untuk membina rumah lindungan yang dilengkapi sistem hidroponik dengan lebih sistematik dan efisien.

“Keseluruhan sistem pengepaman air untuk pembajaan dan pengoperasian ladang dijana sepenuhnya menggunakan tenaga solar,” ujarnya yang juga merupakan bekas pelajar Institut Pertanian Kuala Lipis, Pahang dalam jurusan juruteknik pertanian.

Abd Harris Shafii bersyukur tanaman salad membuahkan hasil.

Sementara itu, Pengerusi JPKK Kampung Pengkalan Ara merangkap Ketua Projek Abd Haris Shafii Abdul Ghani, berkata setakat ini ladang itu diusahakan oleh lima orang ahli jawatankuasa JPKK dan penduduk kampung serta beliau menyasarkan untuk mengupah lebih ramai pekerja bermula pusingan tanaman seterusnya.

“Untuk projek akan datang, kami merancang untuk menambah tanaman lain iaitu sayur bayam hijau dan daun ketumbar.

“Selain itu, kami turut bercadang untuk menggunakan sebahagian daripada keuntungan ini bagi meringankan beban penduduk kampung yang memerlukan dengan bantuan barangan keperluan asas,” ujarnya.

-ZS-

Tinggalkan komen anda