Skip to main content
Berita TempatanBerita SelatanJohor

Hospital Mesra Ibadah Bantu Emosi Pesakit

By 16 Januari 2025Tiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlin Basir/Ahmad Nur Zahidi Mairop (Batu Pahat)

BATU PAHAT, 16 Jan (MalaysiaAktif) – Hospital Mesra Ibadah diwujudkan bagi membantu dan memberikan sokongan untuk memenuhi keperluan sosial, kebajikan serta emosi pesakit-pesakit semasa mereka menjalani rawatan dan pemulihan di hospital.

Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Hospital Sultanah Nora Ismail Batu Pahat, Sarah Norasikin Abdullah ketika menyampaikan ucapan di Bengkel Hospital Mesra Ibadah 

Ketua Unit Hal Ehwal Islam, Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat, Sarah Norasikin Abdullah, berkata objektif Hospital Mesra Ibadah adalah untuk membantu dalam pelaksanaan praktikal ibadah seperti bersuci dan bersolat.

Antara peserta bengkel yang mengikuti Bengkel Hospital Mesra Ibadah

“Menerusi kemudahan ini warga kesihatan akan mendapat pendedahan dan latihan berkenaan perkhidmatan sokongan rohani dan pengurusan ibadah pesakit di samping mengamalkan nilai-nilai agama dalam menjalankan tugas.

“Bagi sukarelawan yang mengendalikan pesakit muslim di wad akan sentiasa memaklumkan masuk waktu solat, arah kiblat juga peralatan solat yang telah disediakan oleh pihak hospital,“ katanya ketika ditemui sempena Bengkel Hospital Mesra di Dewan Bistari Hospital Sultanah Nora Ismail, di sini semalam.

Dalam bengkel tersebut peserta didedahkan dengan suasana sebenar di wad pesakit selain mempraktikkan teori yang dipelajari iaitu beramah mesra bersama pesakit dan sentiasa mengingati pesakit untuk tidak meninggalkan ibadah solat.

Tambah Sarah Norasikin Abdullah, bagi pesakit yang tidak berkemampuan, sukarelawan akan membantu dari segi mengambil wudhuk atau tayamum dan bantuan solat sama ada secara teori atau amali.

“Pihak hospital juga menyediakan Kit Mesra Ibadah di setiap wad untuk memudahkan pesakit menjalani ibadah seperti penyembur wuduk, panduan solat, yasin, telekung, kain pelekat, sejadah dan risalah-risalah berkaitan ibadah solat,“ katanya.

-AA-

 

Tinggalkan komen anda