
Laporan/foto: Uraidah Zetti Md Arifin/Raja Noor Ezani Raja Noor Ezam
DUNGUN, 15 Jan (Malaysiaaktif) – Kejadian luar biasa berlaku di Pantai Sura Hujung apabila jutaan kerang naik ke darat, menarik perhatian penduduk sekitar yang berkumpul untuk mengutip hasil alam ini.
Kehadiran lebih 500 orang menjadikan suasana di pantai bagaikan pesta, dengan orang ramai berlumba-lumba mengumpulkan kerang.

Ada yang menjual atau menyediakan hasil kutipan kerang sebagai hidangan untuk keluarga.
Tinjauan Malaysia Aktif mendapati pengunjung menggunakan pelbagai alat seperti besen dan penutup kipas untuk mencari kerang yang terdampar di sepanjang pantai.
Armi Hitam, 47, yang bekerja sendiri, berkata dia hanya mengetahui mengenai kejadian ini selepas dimaklumkan oleh rakannya dan segera mengambil peluang untuk melihat fenomena tersebut.
“Orang ramai sanggup berpanas untuk mengutip kerang ini, ada yang menjualnya atau menyediakannya sebagai hidangan keluarga. Ia juga menjadi sumber rezeki kepada peniaga,” katanya.
Seorang penduduk dari Kampung Batu 5, Nor Ain Syafikah Wahid, 14, turut tidak melepaskan peluang bersama kawannya mengumpulkan lebih daripada 30 kilogram kerang.

Nor Ain Syafikah bersama rakannya mengumpul lebih daripada 30 kilogram kerang.
“Saya sangat teruja, ini peluang yang jarang berlaku,” ujarnya dengan senyuman.
Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Dungun dan Pejabat Penerangan Daerah Dungun telah mengeluarkan hebahan mengenai ramalan luruan monsun kuat dari 15 hingga 18 Januari ini.
Pihak berkuasa mengingatkan orang ramai agar mematuhi arahan keselamatan dan berhati-hati semasa mengunjungi pantai.
-ZS-