Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

Majlis Tilawah Al Quran Galak Belia Mendalami Ilmu Keagamaan

By 24 Januari 20252 hari yang laluTiada komen2 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Mazlan Bakar (Nabawan)

KOTA KINABALU, 24 Jan (MalaysiaAktif) – Majlis Tilawah al-Quran (MTQ) terus menjadi platform utama dalam menyemarakkan kecintaan terhadap al-Quran dengan penyertaan yang memberangsangkan dari golongan belia.

Pegawai Daerah Nabawan, Marshal Anthony berkata, peningkatan penyertaan golongan belia dalam pertandingan MTQ kali ini sangat menggalakkan sekali gus membuktikan wujudnya kesedaran generasi muda terhadap ilmu keagamaan.

Jelasnya, penglibatan golongan belia dalam program keagamaan sangat penting untuk meningkatkan potensi diri, membina kepimpinan dan mencemai akhlak mulia di kalangan mereka.

“Trend peningkatan penyertaan daripada golongan belia begitu memberangsangkan di mana penglibatan belia dalam aktiviti keagamaan adalah salah satu usaha untuk menghindarkan golongan ini daripada terjebak dengan gejala sosial.

“Selain itu, ia akan melahirkan belia yang peka dan celik dalam ilmu agama serta berpotensi untuk diketengahkan terutamanya dalam bidang Tilawah al-Quran,” katanya ketika merasmikan MTQ Peringkat Daerah Nabawan di Pusat Komuniti Daerah Nabawan di sini pada Jumaat.

Beliau yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nabawan, Datuk Ghani Mohd Yassin menyeru, agar masyarakat di kawasan pedalaman turut sama melibatkan diri dengan pelbagai program keagamaan yang dianjurkan sepanjang tahun.

“Aktiviti keagamaan yang dianjurkan oleh pihak kerajaan dan agensi lain begitu berguna dan boleh membantu memperkasakan lagi ilmu pengetahuan agama masyarakat.

“Penyertaan yang memberangsangkan pada Majlis Tilawah Al-Quran pada kali ini memberi cerminan positif bahawa semakin ramai masyarakat di kawasan pedalaman mahir dalam membaca al-Quran,” ujarnya.

Johan qari dan qariah bersama sijil kemenangan pada Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Daerah Nabawan.

Untuk makluman, MTQ peringkat daerah Nabawan itu menyaksikan Abdul Karim Ampakot dinobatkan sebagai johan qari manakala Dillah Yankim sebagai johan qariah seterusnya mewakili daerah Nabawan ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Zon Pedalaman Atas.

-RJ-

Tinggalkan komen anda