Laporan/foto: Sabrina Alicia Endoh Bali (Sarawak)
BINTULU, 9 Jan (MalaysiaAktif) – ‘Marik Empang’ merupakan salah satu perhiasan bahagian leher yang menggunakan manik dengan pelbagai corak dan dibentuk menjadi bulat untuk pakaian tradisional wanita kaum Iban.
Penghasilan sesebuah ‘Marik Empang’ memakan masa kerana memerlukan ketelitian bagi kehalusan pada corak dan warna yang dihasilkan lebih-lebih lagi pembuatnya ‘bekerja’ bersama manik-manik yang halus.
Menurut salah seorang pembuat ‘Marik Empang’, Rebecca Manja, 52 tahun, beliau mulai belajar membuat ‘Marik Empang’ daripada media sosial iaitu Facebook dan YouTube sejak tahun 2022.
“Bermula dari situlah minat saya untuk terus berkecimpung dalam bidang kraftangan berasaskan manik iaitu penghasilan ‘Marik Empang’,” kata Rebecca ketika ditemui semalam.
Tambah Rebecca, beliau aktif menghasilkan ‘Marik Empang’ sehingga sekarang dan telah menghasilkan pelbagai corak menarik dan dalam masa yang sama dapat menjana pendapatan sampingan untuk beliau.
“Anggaran kos untuk penghasilan seunit ‘Marik Empang’ ialah kira-kira RM 550-750 bergantung dengan jenis manik yang digunakan dan disiapkan dalam tempoh sebulan,” katanya.
Menurut Rebecca lagi, beliau pernah menyertai ‘Simposium Jaku Iban’ dan ‘Pengelandik Jari Tikas Sarawak 2024’ dan pernah mendapat tempat kedua bagi ‘Pekit Nusuk Tangu/Marik Empang’.
Selain menghasilkan ‘Marik Empang’, Rebecca turut menghasilkan selampai (selendang) dan tali leher yang berasaskan manik halus dengan anggaran harga tali leher dalam RM150-RM200 dan selampai sekitar RM600-RM750 mengikut corak, saiz dan panjang.
“Saya menyeru agar generasi muda di luar sana untuk mempelajari, mendalami dan memelihara seni kraftangan manik ‘Mari Empang’ yang mempunyai keunikan tersendiri ini supaya ianya tidak hilang ditelan zaman yang semakin moden,” katanya lagi sebelum mengakhiri temu bual semalam.
Kemahiran seni kraftangan manik ‘Marik Empang’ boleh dipraktikkan sampai bila-bila dan mampu memberikan pulangan yang lumayan kepada pembuat kraftangan tersebut sekiranya dikomersialkan.
Bagi pelanggan yang ingin membuat tempahan dan pembelian boleh melalui media sosial beliau iaitu layari aplikasi Facebook dan Tiktok Rebeca Manja.
-RJ-