Skip to main content
Berita Sabah & LabuanBerita TempatanSabah

SCSM Awards 2025 Semarakkan Semangat Seni Muzik Sabah

By 20 Januari 2025Tiada komen3 minit bacaan
Kongsi artikel ini di media sosial:

Laporan/foto: Sunday Grace Justimus

PENAMPANG, 20 Jan (MalaysiaAktif) – Peperiksaan St. Cecilia School of Music (SCSM) menjadi platform utama untuk mengukur bakat dan memperkasa pelajar dalam bidang muzik di Sabah.

Bukan sahaja memberikan pengiktirafan bertaraf antarabangsa, tetapi juga menyediakan peluang untuk mempromosikan budaya dan warisan tempatan melalui seni nyanyian.

Pengarah Artistik Oongisvoce Academy of Music (OVAM), Carrey Oliver, berkata, SCSM International adalah platform yang unik kerana membenarkan pelajar menyanyikan lagu-lagu etnik Sabah sebagai salah satu medium teknik lantunan suara.

Elton (kanan), Carrey (kiri) bersama kakitangan OVAM di di Majlis Anugerah SCSM yang berlangsung di sini kemarin.

“Antara lagu dinyanyikan termasuklah lagu-lagu dari etnik Kadazandusun, Murut, Rungus, dan Bajau sebagai sebahagian daripada repertoire peperiksaan mereka sekaligus membantu memulihara serta memperkasakan nilai seni budaya tempatan.

“Selain itu, SCSM juga menawarkan yuran yang berpatutan, menjadikan pengiktirafan antarabangsa ini lebih mudah dicapai oleh pelajar dari pelbagai latar belakang ekonomi,” katanya ketika ditemui di Majlis Anugerah SCSM di sini pada Sabtu.

Pengetua (OVAM), Elton Ciddy Yali, turut berkongsi sistem peperiksaan SCSM ini direka secara progresif untuk mempersiapkan pelajar bukan sahaja dari segi teknikal tetapi juga dari aspek persembahan pentas.

“Elemen-elemen inovatif seperti etiket pentas, persiapan persembahan, dan kreativiti membantu membentuk pelajar yang lebih berdikari dan bertanggungjawab, ujarnya.

Salah seorang penerima anugerah, Celistha Fay Deosing di Majlis Anugerah SCSM kemarin.

Sementara itu, ibu kepada salah seorang pelajar, Celistha Fay Deosing, 42, berkata melalui peperiksaan ini dapat melihat peningkatan besar dalam keyakinan dan kemahiran anaknya dan kini lebih memahami Teknik nyanyian serta tampil di hadapan orang ramai.

“Saya percaya pengalaman ini akan memberi impak positif kepada masa depannya, bukan sahaja dalam muzik tetapi juga dalam aspek lain.

“Saya percaya Oongisvoce menawarkan program yang sangat komprehensif untuk membangunkan bakat anak saya dalam muzik dan selain pendekatan SCSM yang memberi peluang untuk menyanyikan lagu-lagu tradisional Sabah, yang membantu anak saya memahami dan menghargai budaya kita, kongsinya.

Skyler bersama dengan rakan-rakan yang turut menerima SCSM Awards 2025 di sini kemarin.

Bagi pelajar, Skyler Jude Rudy Epol, 12, melihat pencapaiannya dalam peperiksaan ini memberi keyakinan untuk terus melangkah lebih jauh dalam bidang muzik.

“Ia membuka peluang untuk saya menyertai lebih banyak pertandingan dan persembahan di peringkat yang lebih tinggi dan saya juga percaya ia akan menjadi asas untuk mencapai cita-cita menjadi seorang penyanyi profesional suatu hari nanti.

Dengan semangat yang tinggi, SCSM Awards 2025 bukan sahaja meraikan pencapaian tetapi juga menjadi inspirasi kepada lebih 200 orang yang hadir untuk terus berkarya dan mengangkat seni muzik tempatan ke tahap yang lebih tinggi.

-RJ-

 

Tinggalkan komen anda